Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar bercakap kepada media selepas majlis perasmian Medan Selera Puchong Permai di perkarangan medan selera, Puchong Permai, Subang Jaya pada 25 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ: 4,000 kes demam denggi dicatat setakat 26 Nov

Oleh AZIAN AZIZ

SUBANG JAYA, 30 NOV: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) merekodkan 4,000 kes demam denggi dalam tempoh 47 minggu bermula awal tahun ini sehingga 26 November lalu.

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar berkata daripada keseluruhan kes dicatatkan, 31 berlaku antara 20 hingga 26 November lalu (minggu ke 47) melibatkan empat lokasi ‘hotspot’.

“Kawasan tersebut ialah Pangsapuri Mawar Jaya, Kota Perdana 4 yang melibatkan enam kes; Pangsapuri Vista Pinggiran, Taman Pinggiran Putra (tujuh); Taman Lestari Putra 3 (lapan) dan Taman Bukit Serdang 3 (10),” katanya dalam Mesyuarat Penuh MBSJ hari ini.

Menurut Johary, hasil pemantauan di lokasi terlibat mendapati lorong belakang premis, kebun komuniti dan kawasan longgokan sampah adalah antara tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Untuk makluman semua, dijangkakan berlaku lonjakan kes demam denggi di seluruh negara tahun depan dan masyarakat diminta untuk terus memastikan persekitaran premis masing-masing bebas dari pembiakan aedes dengan meluang masa 10 minit setiap minggu untuk mencari serta memusnah tempat pembiakan nyamuk.

“Orang ramai yang tinggal di kawasan wabak denggi juga diminta membuat semburan aerosol di dalam premis dan menggunakan insect repellan apabila keluar rumah sebagai langkah pencegahan,” katanya.


Pengarang :