Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) (lima dari kiri) pada Majlis Pelancaran Pelan Anti Rasuah MBSJ 2022-2026 di Sunway Resort pada 24 November 2022. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ lancar Pelan Anti Rasuah 2022-2026, bentuk organisasi sifar rasuah

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SUBANG JAYA, 24 NOV: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) melancarkan Pelan Anti Rasuah MBSJ 2022-2026 ke arah membentuk organisasi bebas rasuah dengan budaya ketelusan, akauntabiliti dan integriti.

Datuk bandarnya, Datuk Johary Anuar berkata pelan itu mencerminkan komitmen pengurusan tertinggi, ahli majlis dan warga kerja MBSJ dalam menentang isu rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan.

“Ia dilaksanakan berdasarkan tiga strategi utama iaitu memperkukuh kecekapan, ketelusan, integriti dan akauntabiliti tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan.

“Selain itu, mempertingkatkan keberkesanan dan ketelusan perolehan serta memperkasa kredibiliti penguatkuasaan undang-undang dan ketelusan dalam kawalan pembangunan dan pengurusan pelesenan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran Pelan Anti Rasuah MBSJ 2022-2026 di Sunway Resort hari ini.

Katanya berteraskan enam objektif strategik membabitkan 72 pelan tindakan, pelan terbabit merangkumi tiga sektor utama iaitu pentadbiran, perolehan dan pengoperasian.

“Pelan ini selaras matlamat pembangunan mampan untuk membina masyarakat aman dan inklusif yang mendukung keadilan untuk semua pihak dan membina organisasi berkesan serta bertanggungjawab di semua peringkat,” katanya.


Pengarang :