EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han (tiga dari kiri) dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Dato’ Johary Anuar (empat dari kiri) pada majlis pecah tanah projek berkenaan di Taman Wawasan pada 3 November 2022. Foto MBSJ
PBTSELANGOR

MBSJ peruntuk RM125.4 juta laksana 39 projek tahun depan

PUCHONG, 3 NOV: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memperuntukkan RM125.4 juta bagi melaksanakan 39 projek utama pada tahun depan.

Datuk Bandarnya Dato’ Johary Anuar berkata projek itu meliputi pembinaan persimpangan bertingkat di Persiaran Kewajipan dan Persiaran Subang Permai.

“Projek ini bertujuan mengurangkan kesesakan jalan raya dan ia dianggarkan menelan belanja RM30 juta serta dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2028.

“Selain itu, kita juga bercadang membina jalan sambung yang menghubungkan Jalan Bandar Puchong Jaya ke Jalan Tiong dengan anggaran kos RM6 juta,” katanya hari ini.

Terdahulu beliau disertai EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menyempurnakan majlis pecah tanah projek pembinaan Kompleks dan Kemudahan Awam MBSJ di Taman Wawasan.

Johary berkata MBSJ turut bercadang membina semula Medan Selera di SS19, Subang Jaya dan Taman Tasik Sri Serdang dengan lebih kondusif.

Beliau berkata RM49.49 juta diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan jalan raya, aset jalan raya, parit dan longkang termasuk kawasan riadah pada tahun depan.

“Kita harap dengan kelengkapan infra yang dibangunkan ini dapat dimanfaatkan secara optimum sekali gus melahirkan masyarakat yang sihat dan sejahtera,” katanya.


Pengarang :