Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar berucap ketika bengkel pelan strategik operasi bantuan bencana sebagai persiapan menghadapi monsun Timur Laut 2022 di Dewan Serbaguna MBSJ, USJ 7, Subang Jaya pada 5 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ sedia program menarik untuk orang ramai Disember ini

SUBANG JAYA 30 NOV: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menganjurkan beberapa program bermanfaat untuk orang ramai pada Disember ini termasuk yang terbaharu, Tapak Kendera Saji Dataran Millenium SS13.

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar berkata program Tapak Kendera Saji bertujuan memberi peluang kepada usahawan mikro di sekitar bandar raya untuk menjana pendapatan.

“Majlis perasmian program diadakan di Dataran Millenium SS13 pada 2 Disember ini dan berlangsung dari 8 hingga 10 malam dan usahawan mikro terlibat boleh mempromosikan menu jualan mereka kepada orang ramai pada hari tersebut.

“Selepas itu, Tapak Kendera Saji akan dibuka setiap Isnin hingga Khamis bermula 5.30 petang hingga 12 malam dan Jumaat hingga Ahad bermula 5.30 petang hingga 12.30 malam,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Penuh MBSJ hari ini.

Menurut Johari, program lain akan diadakan ialah Karnival Kesihatan Sempena Hari AIDS Sedunia 2022 di Taman Tasik Wawasan Puchong pada 3 Disember bermula 7.30 pagi hingga 1 petang.

Beliau berkata ia bertujuan memberi pendedahan mengenai penyakit AIDS kepada orang ramai dan menggalakkan pesakit dapatkan rawatan.

“Pelbagai aktiviti menarik lain dijalankan iaitu zumba, saringan kesihatan, pameran, jualan makanan, pertandingan explorace dan mewarna kanak-kanak serta sesi perkongsian pengalaman bersama peserta,” katanya.

Tambah beliau, satu lagi program ialah Selamat Pagi Subang Jaya: Hari Tanpa Kenderaan di Jalan Kemajuan pada 4 Disember dari 7 hingga 11 pagi.

“Program ini adalah inisiatif MBSJ bagi mencapai sasaran penurunan karbon di kawasan bandar raya dan aktiviti menarik disediakan antaranya pesta makanan pagi, pertandingan buskers, push bike, aktiviti memanah dan permainan kereta elektrik.

“Orang ramai dan warga kerja MBSJ dijemput hadir memeriahkan program dianjurkan,” katanya.


Pengarang :