Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Bangi Syahredzan Johan mengedarkan risalah kempen di pasar pagi Kampung Baru Batu 11, Cheras pada 12 November 2022. Foto ALANG BENDAHARA/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Menjelang hari pengundian, calon HARAPAN yakin mampu pertahan Bangi

SHAH ALAM, 16 NOV: Walau berdepan saingan sengit lapan penjuru, calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Bangi yakin mampu mempertahan kerusi gabungan itu dalam pilihan raya umum Sabtu ini.

Pertama kali bertanding, Syahredzan Johan percaya pengalaman bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan di kawasan itu sekian lama akan memberi kelebihan kepadanya.

“Bagi saya, peringkat umur sekarang (39 tahun) bagus untuk berkhidmat kepada rakyat. Walaupun tidak lama dalam politik, tetapi saya sudah lama berkecimpung dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Saya juga selalu bawa jalan tengah dan sederhana. Meskipun saya Melayu tetapi saya masih boleh rapat dan faham serta dengar pandangan kaum lain,” katanya pada 12 November.

Calon HARAPAN bagi Parlimen Bangi Syahredzan Johan menyantuni penduduk Bandar Mahkota Cheras baru-baru ini dalam kempen pilihan raya umum. Foto Facebook Syahredzan Johan

Menurutnya, HARAPAN juga mempunyai kelebihan di Selangor selepas tiga penggal mentadbir sekali gus memudahkannya untuk bekerjasama dengan ahli majlis dan Ahli Dewan Negeri.

“Saya sudah mulakan kerja-kerja awal (kempen) di Bangi sejak Jun lagi. Ini kelebihan saya dan harap ia akan diterjemah dalam peti undi,” katanya lagi.

Syahredzan dicabar Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir (Perikatan Nasional), Hoh Lee Lee (Barisan Nasional), Anuar Salleh (Pejuang), Chee Chee Meng (Parti Rakyat Malaysia) dan tiga calon Bebas.

Pada 2018, penyandang kerusi Parlimen itu Dr Ong Kian Ming (HARAPAN) meraih majoriti besar sebanyak 68,768 undi, menewaskan tiga lagi pencabarnya.


Pengarang :