Kelihatan bendera pelbagai parti dipasang di persimpangan Jalan Gedung Lalang, Ampangan ketika tinjauan kempen pilihan raya umum ke-15 di Seremban pada 13 November 2022. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Misi perangi rasuah, manifesto parti mana pikat pengundi?

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Mendekati hari pengundian Sabtu ini, kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin hangat dengan pelbagai isu dibangkitkan calon bagi memastikan undi berpihak kepada mereka dan seterusnya memenangi kawasan yang ditandingi.

Tidak hanya isu-isu setempat, kos sara hidup, kesan ekonomi, peluang pekerjaan dan banjir, isu rasuah juga dijadikan fokus utama manifesto yang diketengahkan oleh parti dan calon bertanding.

Barangkali ia berdasarkan hasil kajian lapangan Ilham Centre pada Oktober lepas yang mendapati lapan peratus daripada 1,622 responden memilih keutamaan membersihkan kerajaan daripada budaya rasuah, tujuh peratus responden mahu janji menifesto ditunaikan, sementara satu peratus menginginkan reformasi dilaksanakan ke atas institusi dan urus tadbir kerajaan.

Pakatan Harapan (HARAPAN) misalnya, membawa misi memerangi rasuah dengan janji menjadikan Malaysia sebuah negara yang dikenali dengan integritinya, dan bertekad menjadikan Malaysia antara 10 negara paling bersih mengikut Indeks Persepsi Rasuah (CPI), Transparency International menjelang 2030.

Barisan Nasional (BN) pula berjanji akan menghapuskan konflik kepentingan melalui pemisahan jawatan dan fungsi peguam negara serta pendakwa raya, menubuhkan jawatankuasa khas parlimen berkenaan cadangan dan tapisan jawatan utama negara seperti Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Gabenor Bank Negara dan menaik taraf Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai suruhanjaya bebas bagi mengukuhkan etika dan integriti awam.

Sementara Perikatan Nasional (PN) berjanji untuk memperkasa Pelan Antirasuah Nasional, mewujudkan mahkamah antirasuah, larangan sumbangan dana politik luar negara, memperteguh kepimpinan dan tadbir urus berintegriti serta membangunkan kerajaan bebas rasuah.

Manifesto-integriti

Mengulas mengenainya, penganalisis politik Dr G. Manimaran berkata ini kali pertama beliau melihat parti dan gabungan parti politik yang bertanding dalam pilihan raya di negara ini mengambil pendekatan mengutamakan pembinaan negara berintegriti dan memerangi rasuah secara holistik.

“Saya melihat parti politik mengambil pendirian yang positif dan membina dalam memerangi persepsi mengenai rasuah dan mewujudkan negara bebas rasuah.

“Ini tidak pernah berlaku semasa pilihan raya umum lalu kecuali ketika Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor, masing-masing pada November 2021 dan Mac 2022. Mungkin ini ada kaitan dengan harapan dan kehendak rakyat agar ahli politik bebas amalan rasuah serta ada juga kaitan dengan skandal 1MDB,” katanya kepada Bernama.

Janji memerangi rasuah secara holistik turut dikemukakan oleh calon Bebas.

Malaysia kini berada di tangga ke-62 daripada keseluruhan 180 negara apabila merekodkan kemerosotan kedudukan dalam CPI 2021 dua tahun berturut-turut, jatuh lima anak tangga, berdasarkan penilaian Transparency International (TI).

Pada 2019, negara berada di tangga ke-51, namun merosot enam anak tangga kepada 57 pada tahun berikutnya.

Kerana itu, Manimaran berpandangan parti politik tiada pilihan selain memperkenalkan dasar yang mementingkan amalan berintegriti, telus dan tidak terlibat dalam jenayah rasuah.

“Kehendak dan cita rasa pengundi sudah berubah… jadi bagi memenuhi kehendak dan hasrat rakyat yang inginkan pemimpin berwibawa dan berintegriti, parti-parti politik wajar mengambil langkah drastik ini,” katanya.

Calon bebas rasuah

Bagi Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, isu rasuah mendapat perhatian dalam kalangan pengundi bandar khususnya golongan M40 dan B40 yang melihat isu rasuah negara perlu ditangani secara serius oleh kerajaan yang akan mentadbir negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Ini berikutan kajian yang dilakukan oleh beliau sebelum ini mendapati antara punca utama berlakunya kelemahan ekonomi negara adalah salah tadbir urus dan amalan rasuah dalam negara.

“Mereka yang menetap di bandar paling terkesan oleh ekonomi yang tidak memberangsangkan akibat daripada rasuah dan salah tadbir urus yang memberi kesan kepada kos hidup, isu peluang pekerjaan dan isu-isu yang dekat dengan mereka.

“Kerana itu, kempen HARAPAN yang banyak memainkan isu rasuah dan integriti dilihat mudah diterima pengundi terutama di kawasan bandar berbanding di luar bandar yang memberi fokus kepada isu agama dan kepentingan kaum,” katanya.

Sementara Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed pula melihat kebanyakan parti politik memberi tumpuan kepada agenda menangani isu rasuah kerana mereka sedar kegagalan menguruskan sumber negara dengan baik berisiko menjeremuskan negara ke dalam kemuflisan.

Ini yang berlaku di beberapa negara seperti Greece, Sri Lanka, Nigeria, Afrika, Venezuela serta rantau Timur Tengah seperti Libya dan Iraq yang diisytiharkan bankrap akibat rasuah berikutan penyelewengan dan salah tadbir urus.

Negara jiran seperti Indonesia turut berhadapan masalah rasuah serius, namun komitmen Presidennya Joko Widodo dalam membanteras rasuah telah membawa pembaharuan apabila hasil bumi negara itu dapat diurus dengan baik, sekali gus memberi manfaat kepada rakyatnya yang berjumlah lebih 200 juta orang.

Sumber Grafik Media Selangor

“Walaupun CPI negara menurun (merosot) tetapi kes rasuah negara tidaklah endemik sepertimana negara luar. Ini bermakna, usaha yang dilakukan kerajaan berhasil namun rakyat melihat ia masih lagi ada kekurangan dan perlu ditambah baik kerana tidak mahu negara rosak sepertimana berlakunya di Sri Lanka,” katanya.

Menurut Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia itu, bagi mencerminkan integriti, sebaiknya pada pilihan raya akan datang semua calon bertanding disyaratkan mengisytiharkan harta masing-masing.

“Walaupun hanya HARAPAN sahaja yang menggalakkan calon mengisytiharkan harta, itu bukan syarat utama namun ia boleh diwajibkan pada masa akan datang bagi memastikan calon benar-benar bersih.

“Mengambil contoh Amerika Syarikat, kesemua calon bertanding wajib mengisytiharkan harta sebagai langkah pertama dalam memastikan calon bebas rasuah,” katanya.

Saring sendiri

Pandangan senada turut disuarakan Ketua Pasukan Rasuah Busters Datuk Hussamuddin Yaacub yang melihat PRU kali ini merupakan peluang keemasan rakyat membina semula negara dengan menetapkan kriteria tinggi pada bakal pemimpin.

“Ini perlu bagi memastikan bakal pemimpin boleh menguruskan negara dengan baik kerana kesilapan memilih boleh memberi kesan amat teruk kepada negara,” katanya.

Menurut beliau, pengisytiharan harta bukan sahaja mencerminkan ketelusan bakal pemimpin tetapi juga boleh mengelakkanya daripada difitnah.

Pada masa sama, beliau menggalakkan pengundi menyaring sendiri calon yang bertanding di kawasan mereka bagi menilai kredibiliti calon.

“Kalau nak tunggu SPRM, polis, saring semua payah, jadi pengundi boleh menyemak sendiri dalam Internet jika mereka mahu menilai kredibiliti dan integriti seseorang calon.

“Sekurang-kurangnya pengundi boleh menilai integriti dan kekuatan seseorang calon berdasarkan pemilikan harta,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :