Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang Mohd Shukri Ramli menerima watikah pelantikan daripada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Istana Arau pada 22 November 2022. Foto Ihsan PAS Negeri Perlis
AGENDANASIONAL

Mohd Shukri angkat sumpah sebagai MB Perlis

ARAU, 22 NOV: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang Mohd Shukri Ramli mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu.

Mohd Shukri, 61, menerima watikah pelantikan daripada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Bilik Hijau, Istana Arau pada jam 4 petang.

Berangkat sama pada majlis berkenaan, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tuanku Syed Sirajuddin memberi perkenan pelantikan Mohd Shukri berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.

Pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu sebagai Menteri Besar dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi PN yang menyerah watikah lantikan pada Ahad lepas sebelum mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin semalam.

Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis adalah ADUN Sanglang selama tiga penggal berturut-turut sejak 2013.

PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada Pilihan Raya Umum ke-15.

– BERNAMA


Pengarang :