Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Saipolyazan Mat Yusop (tengah) bersama penyokong ketika penamaan calon di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar pada 5 November 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Muka baharu saingi kerusi di Selangor, bekas CEO LZS cabar Jamal Yunos

SHAH ALAM, 5 NOV: Pakatan Harapan (HARAPAN) menampilkan beberapa calon baharu mewakili gabungan itu untuk merebut kerusi di Selangor dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Di Sungai Besar, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Zakat Selangor (LZS) Saipolyazan Mat Yusop mencabar Ketua Umno bahagian itu Datuk Seri Jamal Md Yunos dari Barisan Nasional (BN).

Calon nombor empat dalam kertas undi itu turut berdepan penyandang Datuk Muslimin Yahaya dari Perikatan Nasional (PN), yang sebelum ini menang atas tiket Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Sepang Aiman Athirah Sabu (tengah) diiringi EXCO Selangor Borhan Aman Shah (dua, kiri) dan bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah (belakang) ke pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi pada 5 November 2022. Foto Twitter Maria Chin Abdullah

Menarik di Sepang, tiga ketua sayap wanita HARAPAN, PN dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mewakili gabungan masing-masing bersaing di kerusi Parlimen itu.

HARAPAN yang diwakili Aiman Athirah Sabu disaingi Datuk Seri Rina Harun (PN), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim (Pejuang), Anuar Basiran (BN), seorang calon Parti Rakyat Malaysia dan tiga lagi Bebas.

Bangi pula yang menampilkan Syahredzan Johan dari HARAPAN akan dicabar Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir (PN), Hoh Lee Lee (BN), Anuar Saleh (Pejuang) dan empat calon Bebas.

Calon Parlimen Bangi Syahredzan Johan (kanan) diiringi isteri dan bekas penyandang kerusi itu Dr Ong Kian Ming ke pusat penamaan calon di Dewan Utama Demesne Pejabat Daerah/Tanah Hulu Langat pada 5 November 2022. Foto Twitter Syahredzan Johan

Kerusi Parlimen Tanjong Karang yang juga kubu kuat BN di Selangor pula menyaksikan pertembungan antara Ketua Wanita Umno Datuk Habibah Mohd Yusof melawan Siti Rahayu Baharin (HARAPAN).

Kawasan itu turut ditandingi Datuk Dr Zulkapferi Hanafi dari PN, pelakon Azlan Sani Zawawi atau Lando dari Pejuang dan calon Bebas Mohd Rosni Mastol.

Sementara itu, di Shah Alam, empat calon muka baharu bakal merebut kerusi Parlimen itu iaitu Azli Yusof mewakili HARAPAN, Hizatul Isham Abdul Jalil (BN), Dr Afif Bahardin (PN) dan Muhammad Rafique Rashid (Pejuang).

Sungai Buloh pula menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara Datuk R Ramanan (HARAPAN), Khairy Jamaluddin Abu Bakar (BN), Mohd Ghazali Md Hamin (PN), Mohd Akmal Mohd Yusof (Pejuang), Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) dan dua calon Bebas.

Berikut beberapa kerusi dan calon menarik yang perlu diperhatikan di Selangor:

P096 Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad* (HARAPAN) dicabar Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (BN) dan Mohd Noor Mohd Sahar (PN)

P098 Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari (HARAPAN) lawan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali (PN)** dan Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN)

P099 Ampang Rodziah Ismail (HARAPAN) lawan Datuk Zuraida Kamarudin (Parti Bangsa Malaysia)** dan Sasha Lyna Abdul Latif (PN)

P106 Damansara Gobind Singh Deo (HARAPAN) saingi Tan Gim Tuan (BN) dan Lim Si Ching (PN)

P111 Kota Raja Mohamad Sabu* (HARAPAN) dicabar D Kajendran (BN), Mohamed Diah Baharun (PN)

* selepas nama = penyandang parti sama
* selepas parti = parti tukar calon
** penyandang menang atas tiket parti lawan


Pengarang :