AGENDANASIONAL

Naik elaun kepada RM1,500 bukti Selangor hargai guru Kafa

Oleh DIANA ABD WAHAB

HULU SELANGOR, 26 NOV: Kenaikan elaun bulanan 2,825 guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) negeri ini kepada RM1,500 sebulan mulai Januari depan mendapat reaksi positif orang ramai.

Guru, Rosle Yasin, 58, berkata pengumuman Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan Selangor 2023 dilihat membela nasib mereka kerana elaun guru Kafa antara terendah berbanding warga pendidik lain.

Rosle Yasin

“Inisiatif ini dalam jangka panjang sebenarnya akan menggalakkan anak muda cebur diri dalam profesion pendidikan. Ini penting kerana tidak ramai yang mahu jadi guru Kafa kerana mengejar pekerjaan yang tawar gaji lumayan.

“Saya bimbang jika isu ini tidak diberi perhatian, tiada orang berkelayakan ajar ilmu agama pada masa akan datang kerana gaji yang diterima tak berbaloi sedangkan kerja mereka juga ikut sistem sama seperti Kementerian Pendidikan Malaysia dihantar berkursus dan perlu buat kerja dokumentasi,” katanya.

Ros Azura Hamzah

Penjawat awam, Ros Azura Hamzah, 39, pengumuman Dato’ Menteri Besar itu sebagai bukti Kerajaan Negeri menghargai peranan warga pendidik dalam membentuk pelajar ke arah kehidupan seimbang dunia dan akhirat.

“Pelarasan elaun itu sedikit sebanyak dapat tingkatkan semangat dan motivasi mereka untuk beri perkhidmatan yang terbaik kepada murid-murid.

“Pelaburan Kerajaan Negeri berbaloi kerana pendidikan agama berkualiti pasti melahirkan generasi masa depan yang berilmu dan beragama,” katanya.

Bagi Rozita Abdullah, 62, pula kenaikan elaun itu sudah pasti memberi kelegaan terutama guru Kafa yang tinggal di kawasan bandar.

Rozita Abdullah

“Walaupun kenaikan hanya RM150 sebulan, namun ia pasti memberi makna besar kepada golongan pendidik ini memandangkan peningkatan kos sara hidup dan harga barang semakin mahal ketika ini.

“Bayangkan elaun mereka hanya RM1,350 sebulan sedangkan pekerja kilang dan pengawal keselamatan termasuk warga asing sudah lama nikmati gaji minimum RM1,500 sebulan. Pendapatan mereka masih berada di bawah paras kemiskinan sedangan jasa mereka besar dalam mendidik anak bangsa,” kata pesara itu.

Dalam pembentangan belanjawan semalam, Dato Seri Amirudin Shari mengumumkan elaun guru Kafa diseragam dan dinaikkan kepada RM1,500 sebulan mulai Januari tahun depan melibatkan dana sebanyak RM4.8 juta.


Pengarang :