Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Parlimen Kuala Langat Manivanan Gowin (kiri) bertemu peniaga dan mengedarkan akhbar Selangorkini di pasar malam Banting pada 7 November 2022. Foto Facebook Manivanan Gowin
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Naik taraf khidmat hospital, perkasa wanita antara tawaran HARAPAN Kuala Langat

KUALA LANGAT, 9 NOV: Menaik taraf perkhidmatan di Hospital Banting dan klinik kesihatan antara enam tawaran Pakatan Harapan (HARAPAN) Kuala Langat jika menang kerusi Parlimen itu.

Diumum calonnya Manivanan Gowin, usaha itu bagi memastikan penduduk menerima perkhidmatan inklusif dengan mengutamakan warga emas, kanak-kanak, orang kelainan upaya dan kes rujukan pakar.

“Dalam memastikan kemudahan infrastruktur pada tahap memuaskan, saya juga akan memperkenal dasar dan polisi komprehensif untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuala Langat,” katanya.

Menurutnya, manifesto bertema Maruah Kuala Langat antara lain mengetengah rancangan tebatan banjir secara menyeluruh dan menaik taraf sistem perparitan serta amaran bah.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Parlimen Kuala Langat Manivanan Gowin (tengah) melancarkan tawaran buat penduduk kawasan itu di Bilik Gerakan Utama HARAPAN Kuala Langat pada 7 November 2022. Foto Facebook Manivanan Gowin

Manivanan juga akan memastikan pelajar sekolah rendah dan menengah dibekalkan suasana pembelajaran serta pengajaran kondusif demi generasi masa depan yang berkaliber dan berwawasan.

Turut diumum penubuhan Kelab Kasih Wanita Kuala Langat untuk memastikan kebajikan golongan itu terbela selain menekankan aspek sosial dan penjanaan ekonomi.

“Selain itu, saya mencadangkan pembinaan kompleks sukan mini dan trek lumba motosikal untuk memperkasa serta memartabat anak muda dalam bidang tersebut,” jelasnya.

Manivanan melawan Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (Perikatan Nasional) dalam saingan enam penjuru pada pilihan raya umum ke-15.

 


Pengarang :