Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Shah Alam Azli Yusof menyantuni penduduk rumah pangsa PKNS Seksyen 16, Shah Alam pada 7 November 2022. Foto Facebook Azli Yusof
AGENDANASIONAL

Najwan sifatkan calon HARAPAN Shah Alam berwibawa, disenangi rakyat

SHAH ALAM, 11 NOV : Ahli dewan negeri (ADN) Kota Anggerik menyifatkan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Shah Alam disenangi masyarakat dan mudah didekati.

Najwan Halimi berkata calon kawasan tersebut Azli Yusof juga berpengalaman dengan selok-belok Shah Alam berikutan sudah lama menetap di bandar raya ini.

Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Daripada pemerhatian saya, peluang untuk beliau menang cukup cerah kerana gerak kerja kempen dan penerimaan masyarakat terhadap saudara Azli cukup baik.

“Beliau juga seorang yang mudah didekati dan pandai menyelesaikan masalah. Saya harap pengundi dapat berikan mandat kepadanya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15),” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas program mendaki di Shah Alam Community Forest (SACF) di Setia Alam di sini, semalam.

Najwan menjelaskan sebagai wakil rakyat di bawah parlimen Shah Alam beliau berharap kemenangan berpihak kepada calon HARAPAN.

“Saya rasa apabila ada sinergi antara ADN dan ahli parlimen dalam parti yang sama ia lebih memudahkan gerak kerja itu,” katanya yang kerap turun padang bagi membantu kempen Azli.

Azli yang juga graduan Pengurusan Kejuruteraan dari University of Missouri-Rolla, Amerika Syarikat (AS) diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai calon nombor satu dalam kertas undi berdepan tiga lagi pencabar.

Beliau dicabar Dr Afif Bahardin (Perikatan Nasional), Isham Jalil (Barisan Nasional) dan Rafique Rashid (Pejuang) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Pengarang :