Calon HARAPAN Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan bertemu pengundi sekitar Taman Legenda Suria pada 8 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN /SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Negeri ditadbir HARAPAN contoh terbaik urus ekonomi, kebajikan rakyat

HULU LANGAT, 8 NOV: Dua negeri ditadbir Pakatan Harapan (HARAPAN) menjadi contoh terbaik cara kerajaan pimpinan itu mengurus serta menjaga kebajikan rakyat.

Calon HARAPAN Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan berkata Selangor dan Pulau Pinang sejak dipegang HARAPAN menjadi antara negeri terbaik dari segi ekonomi mahupun kebajikan.

“Boleh kata penerimaan masyarakat terhadap kerajaan HARAPAN di Selangor dan Pulau Pinang adalah positif malah di Selangor sendiri kita ada 44 program kebajikan rakyat.

“Terbaru bantuan insurans kepada bayi berusia 30 hari hingga 80 tahun. Mereka dilindungi sehingga RM10,000, kerajaan negeri mana yang buat begini? Justeru rakyat undilah HARAPAN,” katanya ketika berkempen di Taman Cempaka Lui, di sini, hari ini.

Calon HARAPAN Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan bertemu pengundi di kawasan tersebut pada 8 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN /SELANGORKINI

Ahli Dewan Negeri Templer itu turut mengingatkan rakyat negara pernah kerugian RM60 bilion akibat salah laku rasuah seperti dilapor Global Financial Integrity pada 2017.

“Masalah utama negara kita ini sebab dapat kepimpinan yang mengurus serta mentadbir negara dengan cara tidak betul, bayangkan jika masih ada RM60 bilion, berapa banyak sekolah boleh dibantu.

“Tak payah pergi jauh, tengok keadaan sekolah di Semenyih yang padat dan sesak. Dalam satu kelas ada 45 murid dan tidak cukup guru. Kalau RM60 bilion ini digunakan di tempat sepatutnya, pasti banyak masalah selesai,” katanya.


Pengarang :