Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari melihat pelan susun atur projek mendalamkan sungai ketika majlis perasmian Projek Mendalam dan Melebarkan Tebatan Banjir Sungai Klang di Kota Kemuning, Shah Alam pada 1 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri pantau paras air sungai selepas hujan, siap hadapi sebarang kemungkinan

SHAH ALAM, 8 NOV: Kerajaan Negeri sedang menjalankan pemantauan terhadap paras air sungai yang meningkat berikutan hujan lebat.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya juga bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku di negeri ini.

“Saya telah berhubung dengan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Dato’ Haris Kasim berkenaan paras beberapa sungai di Selangor yang semakin meningkat akibat hujan lebat yang berterusan.

“Kerajaan Negeri akan memantau keadaan semasa dan bersedia untuk sebarang kemungkinan yang berlaku,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter hari ini.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim menerusi media sosial turut berkongsi keadaan berlaku di Taman Sri Muda di sini.

“Keadaan semasa di (Taman) Sri Muda jam 6.45 petang tadi. Pam air berfungsi dengan baik. Air sungai agak tinggi kerana fenomena air pasang sedang berlaku. Saya akan kemaskini situasi banjir dari masa ke semasa,” katanya.

Pada 12 Oktober, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri bersiap menghadapi kemungkinan banjir hujung tahun ini dengan tidak hanya tertumpu kepada sumber manusia sebaliknya meliputi peralatan menyelamat, kemudahan pusat penempatan sementara (PPS) dan pangkalan hadapan.

Menurutnya, persiapan dibuat itu berdasarkan pengalaman berdepan banjir besar di negeri itu akhir tahun lalu.


Pengarang :