EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau bergambar bersama penerima sumbangan ketika Majlis Simbolik Penyerahan Peruntukan Program Jawatankuasa Tetap Kebajikan Masyarakat di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, pada 1 November 2022. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Negeri salur lebih RM2 juta bantu persatuan, NGO perkasa agenda kebajikan masyarakat

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 1 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM2 juta bagi membantu 85 persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pusat kebajikan memperkasa agenda kebajikan masyarakat.

EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau berkata sumbangan disalurkan menerusi program Dana Sukarelawan Kebajikan, Program Sinergi Prihatin dan Program Pusat Kebajikan Lestari.

“Menyedari pentingnya aspek kebajikan dalam pembangunan negeri, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kebajikan Masyarakat menyalurkan bantuan kepada badan berkaitan.

“Kerajaan Negeri akan terus cakna dengan hal ehwal kebajikan rakyat bagi memastikan sesiapa yang memerlukan tidak terpinggir tanpa bantuan,” katanya.

Terdahulu beliau menyempurnakan majlis penyerahan peruntukan program bawah Jawatankuasa Tetap Kebajikan Masyarakat di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau menyerahkan sumbangan kepada penerima peruntukan program bawah Jawatankuasa Tetap Kebajikan Masyarakat di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, pada 1 November 2022. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Pada majlis itu, 51 pusat kebajikan menerima geran peruntukan menerusi Program Pusat Kebajikan Lestari dengan jumlah keseluruhan RM1.7 juta.

Selain itu, 17 persatuan menerima RM240,000 menerusi Program Sinergi Prihatin dan RM90,000 kepada 17 persatuan menerusi program Dana Sukarelawan Kebajikan.

Ganabatirau menambah, pihaknya turut menganjurkan Program Santuni Rumah Kebajikan bulan ini membabitkan 27 rumah kebajikan dengan peruntukan RM150,000.


Pengarang :