Pengguna perkhidmatan LRT yang terkandas di Stesen Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) selepas perkhidmatan antara laluan stesen Kelana Jaya dan KLCC dilaporkan mengalami masalah teknikal ketika tinjauan pada 8 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri sedia 20 unit Bas Smart Selangor bantu penguna LRT

OLEH NORZILAWATI SIDEK

SHAH ALAM, 9 NOV: Sebanyak 20 unit Bas Smart Selangor disediakan mulai esok bagi membantu ribuan pengguna berikutan gangguan sistem perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan perkhidmatan tambahan itu diselaras dengan bas perantara disediakan RapidKL bagi mengelak gangguan jadual.

“Kerajaan Negeri dukacita dengan insiden gangguan sistem LRT laluan Kelana Jaya semalam yang menyebabkan operasi 16 stesen ditutup.

“Bagi membantu ribuan pengguna pergi dan balik kerja, Kerajaan Negeri akan menyumbang penggunaan 20 Bas Smart Selangor mulai esok bagi membantu RapidKL mengatasi masalah gangguan,” katanya pada sidang media khas hari ini.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkhidmatan LRT antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park digantung tujuh hari bermula 6 pagi tadi.

Bagaimanapun, katanya, perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya akan beroperasi hanya dari Stesen Gombak ke Stesen Damai serta dari Stesen Lembah Subang ke Stesen Putra Heights.

Semalam, Rapid Rail memaklumkan Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) yang tidak stabil dikenal pasti punca gangguan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya pada Sabtu dan Isnin lepas.


Pengarang :