EXCO Pertanian Ir Izham Hashim melawat gerai pameran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Pavillion Selangor sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Maeps, Serdang pada 6 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri sedia RM7.9 juta pastikan bekalan makanan cukup

SHAH ALAM, 25 NOV: Kerajaan Negeri memperuntuk sebanyak RM7.9 juta tahun depan bagi pelaksanaan Program Bekalan Makanan Negeri Selangor bagi memastikan ia pada tahap selamat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu mengambil kira pengalaman negeri ketika pandemik Covid-19 dan perubahan cuaca tidak menentu pada masa kini.

Menurutnya, perbelanjaan itu juga bagi meningkatkan pendapatan usahawan tani dan amalan pertanian lestari menerusi lima dasar Pelan Transformasi Agro Selangor atau PeTA.

Jelasnya lagi, sebanyak RM1.2 juta disalur untuk melaksana pertanian bernilai tinggi, konsep pertanian Revolusi 4.0 (RM2 juta) dan melonjakkan potensi usahawan tani belia (RM3 juta).

“Kerajaan Negeri akan mempergiat pemasaran produk pertanian dengan peruntukan RM1.2 juta dan RM500,000 untuk program agro pelancongan,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023 hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata Jawatankuasa Sekuriti Makanan peringkat negeri akan ditubuhkan melibatkan pelbagai jabatan dan agensi bagi memastikan semua inisiatif lancar.

“Kerajaan Negeri juga menyokong Jabatan Pertanian negeri dengan menyalurkan RM11 juta untuk produktiviti tanaman, pemindahan teknologi dan menaik taraf kemudahan agro makanan,” katanya.


Pengarang :