AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Negeri tampung RM2.2 juta selesai isu strata 800 keluarga tiga pangsapuri

GOMBAK, 4 NOV: Kerajaan Negeri menampung kos RM2.2 juta bagi menyelesaikan hak milik strata membabitkan tiga pangsapuri di Taman Gombak Permai.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha tersebut memanfaatkan lebih 800 keluarga di Pangsapuri Kenanga, Beringin dan Cempaka yang terletak dalam taman berkenaan.

Jelasnya, pangsapuri dibina pada 2005 menerusi projek setinggan sifar itu dihuni sejak 2008 namun tidak mempunyai hak milik strata atau hak milik bertingkat sehingga kini.

“Sejak 2008 Selangor berusaha membantu penduduk dalam isu pemberimilikan tanah, kalau baca berita disiarkan Selangorkini mesti anda tahu kita sudah beri lebih 80,000 hak milik tanah sepanjang 14 tahun.

“Perkara ini dilakukan bagi membolehkan penduduk ada modal sekali gus mengembangkan lagi kehidupan mereka. Justeru, untuk masalah di Taman Gombak Permai, kita juga bantu mereka. Kita tidak mahu hanya dilihat moden tapi dalam isu pemberimilikan ada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis minum petang bersama penduduk Taman Gombak Permai dan tiga pangsapuri di sini, hari ini.

Amirudin menambah perbincangan mengenai masalah pangsapuri berkenaan sudah dilakukan sejak 2020 tetapi tertangguh akibat pandemik Covid-19.

“Bayaran sudahpun dibuat dan seterusnya adalah proses pemberimilikan akan diurus oleh pejabat tanah dan Majlis Perbandaran Selayang,” katanya lagi.


Pengarang :