Taman Alam Kuala Selangor. Foto Majlis Perbandaran Kuala Selangor
EXCOSELANGOR

Negeri tubuh jawatankuasa pantau projek Taman Alam Kuala Selangor

SHAH ALAM, 29 NOV: Jawatankuasa pemantau ditubuhkan bagi memastikan projek pembangunan pelancongan Taman Alam Kuala Selangor mematuhi segala syarat dan piawaian pembinaan.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata projek berkenaan akan dibangunkan syarikat bertaraf antarabangsa yang berpengalaman luas dalam sektor pembangunan ekopelancongan.

“Pihak pemaju akan mengamalkan konsep pelancongan hijau bagi mengekalkan warisan budaya dan alam sekitar Taman Alam. Sebagai contoh program penanaman semula pokok bakau, pembersihan sungai, aktiviti ‘Bird Watching’ dan sebagainya,” katanya.

EXCO Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian menjawab soalan di Sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 29 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung status terkini pembangunan pusat pelancongan antarabangsa di Taman Alam Kuala Selangor dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menurutnya, projek itu berkonsepkan ekopelancongan yang akan menampilkan destinasi indah dan bersepadu dengan mengekalkan kawasan semulajadi dan warisan sekeliling.

“Ia juga menitik beratkan sumber alam semulajadi dan sekali gus memberi impak yang rendah terhadap alam sekitar dan menyumbang kepada kesejahteraan penduduk tempatan,” katanya.


Pengarang :