Pengguna Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) menunggu giliran untuk menaiki pengangkutan awam itu ke destinasi masing-masing ketika tinjauan di Stesen LRT Pasar Seni pada 25 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Operasi LRT stesen Kelana Jaya, Ampang digantung tujuh hari

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) di antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park digantung tujuh hari bermula pukul 6 pagi tadi selepas mengambil kira faktor keselamatan penumpang serta masa yang akan diambil untuk mengenal pasti punca gangguan perkhidmatan.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bagaimanapun perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan beroperasi hanya dari Stesen Gombak ke Stesen Damai serta dari Stesen Lembah Subang ke Stesen Putra Heights.

“Semua perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan menamatkan operasi lebih awal iaitu pukul 11 malam bagi memberi lebih masa kepada pasukan kejuruteraan untuk melaksanakan kerja-kerja rektifikasi dan baik pulih.

“Pihak Rapid Rail akan berusaha untuk menyelesaikan masalah rumit ini dalam masa tersingkat. Perkhidmatan bas perantara percuma akan disediakan bagi menampung penumpang dan mengurangkan kesesakan di stesen-stesen yang terjejas,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, punca gangguan kepada komponen elektronik Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) pada perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya masih belum dapat dikenal pasti.

“Gangguan tersebut yang mengakibatkan kehilangan signal di antara pusat kawalan dan juga tren menyebabkan tren-tren tidak dapat beroperasi secara automatik di antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park.

“Ini adalah masalah serius yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pihak Rapid Rail dibantu pasukan khas pihak pengilang peralatan asal (OEM) Thales Group dari Toronto, Kanada bagi mencari penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang. Ini merangkumi ujian-ujian ke atas peranti dan perisian sedia ada,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Rapid Rail memaklumkan ATC yang tidak stabil dikenal pasti sebagai punca kepada gangguan perkhidmatan tren LRT laluan Kelana Jaya pada Sabtu dan Isnin lepas.

Untuk status perkhidmatan terkini dan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan bas perantara, orang ramai boleh merujuk saluran media sosial Rapid KL dan aplikasi PULSE.

-BERNAMA


Pengarang :