Menunjukkan dua jari bagi melambangkan calon kedua di atas kertas undi parlimen Gombak, Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad selesai memilih di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Selayang Baru, Selayang pada 19 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

LANGSUNG: Orang ramai ghairah mengundi, pondok PN tumbang

Lebih 3.6 juta layak membuang undi di seluruh Selangor bagi memilih 22 orang anggota Dewan Rakyat. Orang ramai diseru keluar awal kerana cuaca diramal hujan yang boleh mencetuskan kesesakan.

Selangorkini membawa perkembangan terkini daripada beberapa kerusi parlimen terpilih mulai pusat pembuangan undi dibuka pada 8 pagi hingga ia ditutup jam 6 petang.

Laporan ini disediakan oleh Norrasyidah Arshad, Abdul Rahim Sabri, Suhaila Shahrul Annuar, Azian Aziz, Diana Abd Wahab dan Shamz Johan. Jurufoto di lokasi Hafiz Othman, Ahmad Zakki Jilan, Remy Arifin, Yusni Ariffin dan Nur Adibah Ahmad Izam.


10.45 pagi: Seramai empat pemilih yang dijangkiti Covid-19 sudah mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Selayang Baru. Sebelum itu, mereka disaring dan ditampal pelekat khas.

10.30 pagi: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) parlimen Kota Raja Mohamad Sabu selesai membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Rotan, Kuala Kedah. Beliau pernah memenangi kerusi Kuala Kedah.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) parlimen Ampang Rodziah Ismail membuang undi di Sekolah Kebangsaan Seksyen 18, Shah Alam sebelum bergerak ke kawasan yang ditandinginya. Sekolah ini berada di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga yang disandang Rodziah.

MB: Cuaca makin baik, jangan lupa tunai hak

10.15 pagi: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) parlimen Gombak Dato’ Seri Aminudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad tiba di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Selayang Baru untuk membuang undi sekitar 9.45 pagi.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan turut tiba Sekolah Rendah Agama Pekan Hulu Langat.

“Saya mohon semua rakyat untuk turun mengundi, cuaca semakin baik, jangan lupa tunaikan tanggungjawab kita,” katanya.

Pengundi parlimen Kuala Langat, Dzullutfi Mohd Yusof, 67, bersama anaknya Dzulfadli Dzullutfi, 31, seorang kurang upaya sindrom down selesai membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist Telok Datuk, Kuala Langat.

‘Harap-harap ada perubahan’

10.00 pagi: Seorang pengundi yang ditemui Selangorkini menyatakan rasa teruja dan seronok kerana pertama kali mengundi.

“Saya seronok tetapi tidak seronok sebab keputusan diumum tengah malam. Harap-harap ada perubahan,” kata Safizul Kamal Shuib, 24, yang belum layak membuang undi pada 2018.

“Harap-harap ada perubahan. Kita ada masalah kos sara hidup, masalah gaji, pekerjaan, isu agama dan kedaulatan undang-undang. Kalau tidak jaga itu keharmonian akan jadi kucar-kacir,” katanya.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Shah Alam Azli Yusof membuang undi di Dewan Melur Seksyen 7, Shah Alam pada sebelah pagi, menurut Facebook Azli Yusuf.

Cuaca di pusat membuang undi parlimen Ampang, Hulu Langat dan Kuala Langat masih renyai-renyai sementara Kuala Selangor dan Kapar mendung.

Pondok rebah

9.45 pagi: Khemah jentera kempen Perikatan Nasional (PN) yang terletak kira-kira 200 meter dari pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ampang tumbang pagi ini. Punca kejadian tidak dapat dipastikan.

Ribut petir sebelah petang

9.35 pagi: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan tiada hujan lebat atau ribut petir di seluruh negara kecuali Pahang (daerah Rompin), Melaka dan Johor antara 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Pada 14 November, jabatan itu meramalkan hujan dan ribut petir di semua 22 kawasan parlimen di Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, yang bertanding di Gombak, mengingatkan orang ramai keluar awal di sebelah pagi untuk membuang undi kerana ribut petir diramal melanda sebelah petang.

Satu keluarga memilih

9.30 pagi: Keluarga besar Suriati Ibrahim, 58, dari Kampung Batu 7, Ijok datang beramai-ramai membuang undi di Sekolah Kebangsaan Ijok bagi kerusi parlimen Kuala Selangor.

Semalam Dato’ Seri Amirudin Shari, yang bertanding di Gombak, mengingatkan orang ramai keluar awal di sebelah pagi untuk membuang undi kerana ribut petir diramal melanda semua tempat pada petang.

“Setiap undi penting untuk memastikan suara anda didengar bagi menentukan masa depan negara.

“Tolong datang waktu pagi kerana hujan dijangka pada petang yang akan menyulitkan proses mengundi,” kata Dato’ Menteri Besar.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 14 November memaklumkan semua 22 kawasan parlimen termasuk Selayang, Gombak, Ampang, Pandan, Hulu Langat, Bangi, Puchong, Subang, Damansara, Petaling Jaya, Sungai Buloh dan Sepang mengalami ribut petir.

Kira-kira jam 9 pagi tadi, anggota polis membantu warga emas di Sekolah Rendah Agama Pekan Hulu Langat, Batu 14, Kajang.

Perpaduan kaum kekal

9.15 pagi: Seorang pengundi lelaki berusia 24 tahun yang positif Covid 19 membuang undi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ampang pukul 8 pagi ini.

Pengundi buktikan perpaduan antara rakyat berbilang kaum terus utuh. Pesara guru K Maheswary, 58, dan guru Noraziah Abdullah, 55, teruja bertemu kembali selepas empat tahun tidak bertemu ketika beratur di Saluran Tiga SJKC Selayang Baru untuk mengundi.

Teruja kali pertama mengundi

9:00 pagi: Dua pengundi yang ditemui Selangorkini di Sekolah Rendah Agama Sementa berasa teruja untuk mengundi calon parlimen Kapar hari ini.

“Ini kali pertama saya mengundi. Saya berasa teruja kerana boleh buat pilihan sendiri,” kata Mohd Ikhwan Ridzuan, 18, yang berasal dari Sementa.

Sementara itu Mohamad Fadhli Hamid berkata dia berasa teruja untuk mengundi kerana inilah kali pertama berlaku saingan banyak penjuru di sini.

“Pemilihan (calon) saya tengok daripada media sosial dan saya membanding-bandingkannya. Setiap parti ada kekuatan masing-masing,” katanya yang mengundi buat kali kedua.

Dr Dzulkefly buang undi

8.45 pagi: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad tiba di Sekolah Kebangsaan Ijok bagi membuang undi.

Pengundi tersilap ke pusat jumlah undi

8.30 pagi: Beberapa pengundi tersilap datang ke pusat penjumlahan undi di Dewan Dato’ Ahmad Razali, Ampang untuk membuang undi.

Mereka sepatutnya mengundi di Dewan Orang Ramai Dato’ Ahmad Razali di Ampang yang terletak kira-kira 1.5 kilometer.

Anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang bertugas menunjukkan lokasi sebenar kepada pengundi yang tersilap tempat.

Hujan reda sedikit

8.15 pagi: Orang ramai mula penuhi pusat membuang undi di Sekolah Rendah Agama Pekan Hulu Langat selepas hujan reda sedikit.

Pemilih bergejala

8.00 pagi: Khemah pemilih bergejala disediakan di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Ijok (parlimen Kuala Selangor) untuk memudahkan proses undian pesakit Covid-19.

Di kawasan parlimen Ampang dan Kuala Langat juga hujan.

Hujan tidak halang

7.45 pagi: Hujan renyai-renyai turut berlaku di Sekolah Rendah Agama Sementa, parlimen Kapar namun tidak menghalang hampir seratus penduduk beratur untuk membuang undi bagi parlimen Kapar.

Lebih 40 pengundi mula beratur seawal 7.30 pagi di luar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Selayang Baru, parlimen Gombak, untuk membuang undi. Hujan turun renyai-renyai. Tiada perayu undi kelihatan.


Pengarang :