Pengguna Bas Smart Selangor mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal sebelum menaiki pengangkutan awam itu di hentian bas Seksyen 13, Shah Alam pada 5 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Orang ramai sambut baik sistem van transit, melengkapi Bas Smart Selangor

SHAH ALAM, 28 NOV: Orang ramai menyambut baik langkah Selangor memperkasakan sistem pengangkutan awam dengan memperkenal perkhidmatan van transit atas permintaan mulai tahun depan.

Koordinator program, Arina Syazana Abdul Rasid, 24, berkata pengenalan van transit diyakini meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam serta memberi pilihan kepada rakyat.

Arina Syazana Abdul Rasid. Foto SIRI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

“Saya menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor sejak 2017 ketika masih bersekolah di tingkatan enam. Sehingga kini saya masih menaiki Bas Smart Selangor untuk ke stesen keretapi kerana bekerja di Kuala Lumpur.

“Saya menyokong sepenuhnya apabila pengangkutan awam dinaik taraf terutama ada van transit atas permintaan kerana mudah dan bukti bahawa kemudahan ini semakin digunakan masyarakat,” katanya ditemui SelangorKini.

Sementara itu, pembantu klinik Nursyahirah Ramli, 22, berkata beliau menggunakan Bas Smart Selangor hanya ketika cuti umum dan hari minggu untuk mengelak kesesakan jalan raya.

Nursyahirah Ramli. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

“Apabila mengetahui pengangkutan awam akan dipelbagaikan sudah pasti saya menyokongnya kerana ia memudahkan pengguna membuat pilihan.

“Kadang-kadang bas penuh jadi perlu naik kenderaan berikutnya, namun dengan ada van transit atas permintaan kita boleh pilih pengangkutan mana hendak digunakan,” katanya.

Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan belanjawan 2023 berkata perkhidmatan van transit atas permintaan bakal dilaksanakan seawal suku pertama tahun depan bagi melengkapkan ekosistem pengangkutan awam di negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan van transit berfungsi berdasarkan permintaan menerusi aplikasi penghalaan pintar, bukan seperti bas henti-henti.

Jelasnya, perkhidmatan yang bakal dijayakan menerusi peruntukan RM25 juta itu melengkapi sistem Bas Smart Selangor yang tidak mampu untuk mencapai laluan yang sempit dan berkepadatan tinggi.


Pengarang :