Pengerusi Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda (tengah) ketika taklimat media pelancaran pameran koleksi keris Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur pada 14 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pameran koleksi 59 keris Sultan Selangor di Muzium Kesenian Islam mulai 2 Disember

Oleh NUR AISHAH MOHD AMIN

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Pameran eksklusif koleksi keris Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bakal berlangsung di Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini mulai 2 Disember hingga 13 Mac 2023.

Pengerusi Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) berkata pameran bertaraf antarabangsa mempamerkan 94 keris dengan 59 daripadanya koleksi Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Pengerusi Yayasan Raja Muda Selangor Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bertemakan Keris: Kuasa dan Identiti, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata koleksi keris daripada peserta program perkasa warisan pembuatan keris YRMS turut dipamerkan.

“Pengunjung yang hadir akan menikmati pelbagai aktiviti menarik, program pendidikan, pameran dan pelbagai acara mengenai warisan seni keris.

“Kami juga tampilkan tiga peserta pembuat keris muda. Mereka dibimbing oleh pakar membuat keris dari Pahang dan Terengganu pada 2019.

“Kini mereka boleh menghasilkan keris dan hasil pembuatan keris mereka akan dipamerkan dalam pameran diraja ini,” katanya ketika taklimat media di Hotel Sunway Putra, di sini hari ini.

Hadir sama, Pemegang Amanah Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) Dato’ Syed Haizam Putra Jamalullail dan Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia Izuan Fadzli Mohammad.

Izuan berkata program anjuran bersama YRMS bertujuan memberi kesedaran dan mengetengahkan warisan keris Melayu.

“Selain penduduk tempatan, kami juga menjangkakan pameran turut dihadiri pengunjung luar negara, dengan ini warisan seni keris dapat dikenali seluruh dunia,” katanya.

Pembuat Keris Muzaffar Mohd Zafri. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, pembuat keris muda Muzaffar Mohd Zafri, 31, berkata pameran berkenaan menjadi medan kepada beliau untuk mengetengahkan lagi kemahiran.

“Saya rasa bertuah YMRS sudi untuk angkat kami sebagai tukang muda dan bawa kami ke depan dan membawa imej orang muda menjadi pewaris dalam bidang keris,” katanya.


Pengarang :