Gandingan Selangor Muhammad Bazli Alias (kiri) dan Muhammad Haziq Chek Mat (kanan) merangkul emas dalam acara ping pong berkerusi roda kelas 1-3 (kategori kecacatan fizikal) menumpaskan 3-2 pada aksi perlawanan akhir sempena Para SUKMA XX MSN 2022 di Bukit Jalil pada 3 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Para SUKMA: Kontinjen lepasi sasaran, bawa pulang 78 pingat

SHAH ALAM, 9 NOV: Aksi baik dipamerkan semua atlet Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Selangor wajar diberi pujian berikutan kejayaan meraih 78 pingat berbanding sasaran 76.

Lebih manis, kejayaan itu membolehkan negeri berada pada kedudukan keempat dalam kejohanan yang berakhir 6 November lalu, kata Ketua Kontinjen Azura Sarbin.

“Alhamdulillah dalam semua 10 acara hanya tiga acara iaitu badminton, catur dan memanah sahaja tidak berjaya meraih pingat emas. Dalam acara lain kita berjaya melepasi sasaran pingat.

“Paling membanggakan skuad renang berjaya mengutip 26 pingat dan 14 daripadanya emas. Awalnya kita hanya sasar sembilan emas tetapi kali ini kita berjaya atasi Sabah,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan pelbagai cabaran dihadapi berikutan kejohanan berlangsung pascapandemik termasuk beberapa atlet terpaksa menarik diri bagi menumpukan keluarga dan kerjaya.

Azura menambah pihaknya akan membuat perancangan rapi untuk memperbaiki segala kelemahan supaya rekod cemerlang edisi kali ini diteruskan pada masa akan datang.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor itu juga akan berbincang dengan Kerajaan Negeri untuk menentukan insentif sesuai sebagai motivasi kepada atlet cemerlang.

Sabah dinobatkan juara Para SUKMA 2022 selepas mengutip 54 emas mengatasi Sarawak (50 emas) dan Selangor (28 emas, 26 perak dan 24 gangsa).


Pengarang :