Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika tiba di Mahkamah Persekututuan bagi mendengar hujahan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd pada 23 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Peguam: Najib kekal mengaku tidak salah, jangan guna nama sebagai propaganda

SHAH ALAM, 15 NOV: Datuk Seri Najib Razak menggesa lawan politik tidak menggunakan namanya sebagai “propaganda” kempen berkait pengampunannya jika Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya umum.

Dalam kenyataan peguamnya hari ini, bekas perdana menteri itu secara konsisten mahu dibebaskan melalui proses kehakiman di mahkamah bagi membuktikan integriti dan legasinya.

Najib yang dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta memohon perbicaraan semula bagi membuktikan tidak bersalah sekali gus mengemukakan fakta yang tidak diperolehi pihak pembelaan, kata firma guaman itu lagi.

“Anak guam kami kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan tidak pernah menggunakan sesen pun dari RM42 juta bagi dirinya dan beliau tidak pernah meminta atau ditawarkan sebagai mana digambarkan dalam perbicaraan SRC (International Sdn Bhd),” menurut kenyataan itu yang disiarkan di Facebook Najib.

Tambahnya, Najib mendakwa RM642 juta digunakan untuk kebajikan melalui parti politik dan badan bukan kerajaan, selain semua barangan yang disita pihak berkuasa pada 2018 bukan hasil aktiviti haram.

“Justeru, anak guam kami menggesa semua seteru politik agar tidak lagi menggunakan namanya bagi propaganda politik dan membenarkan proses perundangan dan kehakiman yang adil serta seimbang dapat dilaksanakan,” menurut kenyataan itu lagi.

Rata-rata pengundi di beberapa kawasan parlimen yang ditemui Selangorkini dalam tempoh berkempen tidak bersetuju Najib diberi pengampunan atas kesalahan tersebut yang disifatkan terlalu besar.

Pada 23 Ogos, mahkamah mengekalkan hukuman penjara dan denda tersebut terhadap Najib selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalah guna kedudukan dan pengubahan wang haram.

Kira-kira seminggu selepas hukuman, Umno Perak dilaporkan mahu memulakan kutipan tandatangan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan pengampunan kepada Najib.

Pada 4 September, langkah itu diikuti Umno bahagian Pekan, kawasan parlimen Najib, yang melancarkan petisyen sama dengan sasaran mengumpul 100,000 tandatangan.

Pada hari yang sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun mengesahkan Najib telah mengemukakan permohonan pengampunan diraja pada 2 September, dalam tempoh 14 hari selepas disabitkan.


Pengarang :