AGENDANASIONAL

Pelakon sambilan maut dipercayai jatuh dari tingkat 22 bangunan pangsapuri

JOHOR BAHRU, 11 NOV: Pelakon drama Oh My Hantaran, Syazlin Zainal maut dipercayai akibat jatuh dari tingkat 22 sebuah pangsapuri di Taman Iskandar, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat wanita berusia 26 tahun itu di bahagian bawah pangsapuri tersebut pada 12.50 tengah hari.

“Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan seorang wanita yang bekerja sebagai pelakon sambilan.

“Sebab kematian adalah jatuh dari tingkat 22 pangsapuri dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata menerusi siasatan awal, pihaknya tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Raub meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Balai Polis Taman Pelangi atau Pegawai Penyiasat ASP Mat Nawi Ab Rahman di talian 016-5050808.

– BERNAMA


Pengarang :