AGENDANASIONAL

Pelakon ugut ‘kafir harbi’ disiasat bawah Kanun Keseksaan

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima laporan polis berhubung penularan video pelakon Zul Huzaimy, yang disyaki mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman dan ugutan.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata kes berkenaan kini dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sebelum ini, pelakon berkenaan dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang menyatakan hasratnya untuk menyembelih ‘khafir harbi’ di Malaysia, menerusi penularan satu video berdurasi dua minit 20 saat, semasa dalam satu majlis di Kemaman, Terengganu, pada 4 November lepas. – BERNAMA


Pengarang :