Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Belanjawan Selangor 2023 dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada 25 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pelantikan Anwar rancak ekonomi negeri, atasi masalah keperluan rakyat

SHAH ALAM, 26 NOV : Pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri bakal merancakkan lagi ekonomi Selangor termasuk mengatasi keperluan rakyat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelantikan Anwar diyakini mampu memberi impak positif kepada Selangor terutama dalam sektor pelancongan, perumahan, pendidikan dan kesihatan.

“Sudah pasti pelantikan beliau (Anwar) amat membantu Kerajaan Negeri. Banyak pelarasan boleh dibuat membabitkan baik pulih rumah kos rendah yang memerlukan kerjasama dan dana daripada kementerian perumahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas membentangkan Belanjawan Selangor 2023 dalam sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex semalam.

Beliau yakin teknologi kesihatan dimiliki negeri seperti aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan rekod HAYAT Selangor yang boleh merekod sejarah kesihatan pesakit mungkin boleh diselaraskan di peringkat persekutuan.

“Kita ada teknologi yang boleh merakamkan status sejarah kesihatan seseorang secara dalam talian, semua ini mungkin boleh diseragamkan di peringkat persekutuan tanpa ada kekangan protokol,” katanya lagi.

Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara kelmarin.

Pada sidang media pertama sebagai perdana menteri, Anwar menegaskan kerajaan perpaduan yang dibentuk dengan penyertaan beberapa parti akan memastikan kestabilan negara dan ekonomi serta menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan.


Pengarang :