Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan tugas secara rasmi di Perdana Putra, Putrajaya pada 25 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDA GLOBAL

Pelantikan Anwar sebagai PM dapat liputan meluas media Thailand

BANGKOK, 25 NOV: Pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 mendapat liputan meluas media di Thailand.

Foto ahli politik berusia 75 tahun itu menghiasi dada akhbar Thailand serta portal berita dan stesen televisyen (TV) tempatan.

Antara media yang melaporkan pelantikan Anwar ialah Bangkok Post, The Nation Thailand, Thai PBS (portal), Khaosod, Manager Online, The Standard, dan Thai PBS (Stesen TV).

Muka depan Bangkok Post bertajuk “Pemimpin Pembangkang Anwar dilantik sebagai PM” manakala tajuk artikel PBS Thai di laman sesawangnya bertajuk “Ketua pembangkang Malaysia Anwar dilantik perdana menteri”.

Pelantikan Anwar turut mendapat liputan The Standard dengan tajuk “Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu” manakala karya Pengurus Online bertajuk “Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri untuk membentuk kerajaan baharu”.

Sementara itu, akhbar harian Cina Thailand seperti Kia Hua Tong Nguan dan Tong Hua Daily News turut memuatkan kisah pelantikan Anwar di muka depan akhbar berkenaan pada Jumaat.

Artikel terbitan The Standard yang ditulis Penolong Prof Chulanee Tantikulananta berkata perdana menteri baharu Malaysia itu menggalas tugas penting termasuk Bajet 2023.

“Pengundi akan membuat penilaian teliti bagaimana kerajaan baharu yang dilantik mampu membawa perubahan dan memulihkan kestabilan dalam negara.

“Rakyat juga menantikan janji pilihan raya yang dibuat Pakatan Harapan dalam kempen PRU15,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :