SHAH ALAM, 28 NOV: Usahawan pertanian, penternakan dan akuakultur yang berhasrat mengembangkan perniagaan disaran memohon pembiayaan skim i-Agro sehingga RM50,000.
Menurut Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah), skim berkenaan boleh dimohon menerusi mikrokredit.selangor.gov.my atau hubungi pegawai pembiayaan di 19 cawangan Hijrah.
“Pembiayaan sehingga RM 50,000 ditawarkan oleh Hijrah melalui pembiayaan skim i-Agro diharap dapat membantu usahawan agro berkembang dengan lebih pesat,” tulisnya di Facebook.
Berikut antara syarat kelayakan:
- warganegara Malaysia
- rakyat Selangor atau bermastautin lebih lima tahun
- mengundi di Selangor
- 18 hingga 65 tahun
- perniagaan sudah beroperasi
- ada lesen atau permit niaga sah
Setakat Januari hingga September, seramai 5,795 usahawan sudah menerima manfaat dari tujuh skim pembiayaan perniagaan bernilai RM92.37 juta daripada Hijrah.
Selain i-Agro, Hijrah turut menawarkan skim i-Bisnes, Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, dan i-Bermusim.