Skuad hoki negara melakar sejarah apabila menjulang Piala Sultan Azlan Shah 2022 buat kali pertama selepas menewaskan Korea Selatan 3-2 dalam aksi akhir di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah pada 10 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Penantian 39 tahun berakhir, Malaysia juara Piala Sultan Azlan Shah

IPOH, 10 NOV: Skuad hoki kebangsaan melakar sejarah apabila menjulang Piala Sultan Azlan Shah 2022 buat kali pertama apabila menewaskan penyandang juara Korea Selatan 3-2 dalam aksi final penuh mendebarkan di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di sini, malam ini.

Kemenangan tersebut sekali gus menamatkan penantian 39 tahun Speedy Tigers untuk bergelar juara selepas kali terakhir layak ke peringkat akhir pada 2014, namun tumpas kepada Australia 8-3.

Kejayaan dilakar skuad kendalian A. Arul Selvaraj itu juga berjaya membalas dendam atas kekalahan 1-2 kepada Korea Selatan yang mengecewakan impian Malaysia merangkul Piala Asia di Jakarta, Mei lepas.

Pada aksi malam ini, Malaysia terlebih dahulu berada di hadapan apabila Shello Silverius menyempurnakan gol padang pada minit ke-14, sebelum Jang Jonghyun mengikat kedudukan 1-1 seminit kemudian.

Malaysia yang berada di ranking ke-10 dunia terus mengatur gerakan dan hasilnya pengadil Raghu Prasad menghadiahkan pukulan penalti kepada Malaysia pada minit ke-44, yang disempurnakan oleh Muhammad Razie Abdul Rahim untuk menewaskan penjaga gawang Korea Selatan, Kim Jaehyeon.

Ketinggalan satu gol, Korea Selatan terus mengasak untuk gol penyamaan namun benteng pertahanan Malaysia yang diketuai Muhammad Hafizuddin Othman berjaya menghalang serangan pasukan lawan.

Sebaliknya, semangat pemain Malaysia terus membara untuk memburu gol dan berjaya menambah jaringan pada minit ke-48 menerusi Muhammad Aminuddin Mohd Zain, sebelum anak buah Kim Byung Hoon merapatkan kedudukan pada minit ke-57 menerusi Jeon Byungjin.

Kedudukan 3-2 berpihak kepada Malaysia itu kekal sehingga wisel penamat.

Pencapaian terbaik Malaysia sejak kali pertama kejohanan ini dianjurkan pada 1983 adalah menduduki tempat kedua sebanyak lima kali iaitu pada edisi 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang turut berangkat menyaksikan perlawanan tersebut berkenan menyampaikan trofi kepada Malaysia.

Sementara itu, Pakistan menduduki tempat ketiga setelah menewaskan Jepun 5-3 semalam manakala Mesir menamatkan kempen di tempat kelima dengan mengalahkan Afrika Selatan 2-1.

 

Senarai Anugerah:

Juara: Malaysia

Naib Juara: Korea Selatan

Ketiga: Pakistan

Pemain Terbaik Perlawanan: Muhammad Razie Abdul Rahim (Malaysia)

Penjaga Gol Terbaik: Muhammad Hafizuddin Othman (Malaysia)

Penjaring Terbanyak: Muhammad Razie Abdul Rahim (17 gol) (Malaysia)

Pemain Terbaik Kejohanan: Shello Silverius (Malaysia)

Fair Play (Piala Raja Ashman Shah): Jepun

— BERNAMA


Pengarang :