Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas pada harga murah ketika program Jualan Ehsan Rakyat di Flat PKNS AU3/1, Ampang Jaya pada 10 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Penduduk gembira program jualan murah dilanjut hingga Mac, dapat terus jimat

AZIAN AZIZ

HULU KLANG, 11 NOV: Keputusan Kerajaan Negeri melanjutkan inisiatif jualan murah barangan asas sehingga Mac tahun depan menggembirakan orang ramai kerana dapat terus menjimatkan belanja dapur disamping menikmati bahan makanan yang berkualiti.

Menurut warga emas, Jamilah Abu Samah, 65, dia yang merupakan bekas jururawat dan suaminya, bekas tentera yang bergantung hidup dengan wang pencen bersyukur kerana dapat terus membeli ayam, beras dan telur dengan harga murah.

Jamilah Abu Samah

 

“Terima kasih kerajaan negeri, Dato’ Menteri Besar kerana sambung program jualan murah ini. Dapatlah pesara seperti saya dan suami berjimat,” katanya yang ditemui dalam Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di balai raya Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) AU3, Taman Keramat di sini.

Jamilah yang tinggal di Flat Al- Redhuan juga teruja kerana dapat bertegur sapa dengan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari yang meninjau lokasi jualan murah tersebut semalam.

Sementara itu, ibu tunggal, Rosidah Sidek, 43, berkata, dia akan mengikuti perkembangan lokasi program JER di kawasan berdekatan kediamannya sehingga Mac ini agar dapat terus membeli barangan murah.

Rosidah Sidek

Dia yang menanggung dua anak dengan bekerja sambilan di restoran makanan segera memberitahu, keluarganya dapat berjimat banyak jika membeli barangan murah dalam program tersebut.

“Bila JER sambung dapatlah saya berjimat lebih lama. Lagi bagus kalau JER dapat diteruskan sehingga raya,” tambahnya yang tinggal di Kampung Batu 71/2, Hulu Klang.

Dalam pada itu, Mat Yusof Yunos, 68, pula berkata, dia berpuas hati dengan Kerajaan Negeri kerana membantu rakyat berjimat melalui jualan murah ini.

Dia yang sebelum ini bekerja di kilang berharap agar jualan murah ini dapat dibuat lebih kerap di kawasan rumahnya kerana memudahkan warga emas sepertinya pergi membeli barang.

Mat Yusof Yunos

“Ini kali pertama buat di kawasan rumah saya. Sebelum ini saya pergi program jualan murah ini di kawasan lain yang agak jauh,” katanya yang menetap di Flat PKNS AU3.

Program JER merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat berdepan kenaikan harga barang.

Program itu yang bermula 6 September lalu dan sepatutnya berakhir Disember ini, telah dilanjutkan sehingga Mac tahun depan.


Pengarang :