Orang ramai membeli barang keperluan asas dijual murah berbanding harga pasaran menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat di Tapak Pasar Malam Kalumpang, Hulu Selangor pada 11 November 2022. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Penduduk Hulu Selangor rebut peluang beli telur sempena program jualan murah

Oleh DIANA ABD WAHAB

HULU SELANGOR 12 NOV: Masyarakat di Hulu Selangor tidak melepaskan peluang membeli telur ayam pada program Jelajah Ehsan Rakyat di sini semalam.

Program jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyediakan kira-kira 300 papan telur memberi kelegaan kepada orang ramai di kawasan terbabit yang terputus bekalan sejak beberapa minggu lalu.

Ia diadakan di Tapak Pasar Malam Kalumpang, mendapat sambutan penduduk khususnya warga emas yang sanggup beratur seawal 8 pagi, untuk membeli pelbagai barang keperluan asas pada harga istimewa.

Biarpun golongan itu diberi keutamaan membeli barangan tanpa perlu berbaris namun ada sesetengah daripada mereka beratur hampir sejam memandangkan barisan panjang berikutan sambutan luar jangkaan orang ramai.

Malah terdapat dalam kalangan warga emas yang sanggup pergi ke daerah lain bagi mendapatkan barangan murah pada program bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari itu.

Rata-rata penduduk berpuas hati dan berharap Kerajaan Negeri meneruskan Jelajah Ehsan Rakyat memandangkan inisiatif itu meringankan beban kewangan akibat peningkatan harga barang dan kos sara hidup ketika ini.

PKPS menjalankan jualan dengan lori di lapangan menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 setiap pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Program dilaksanakan di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula 6 September lalu dan sepatutnya berakhir Disember ini, telah dilanjutkan sehingga Mac tahun depan.

Maklumat lokasi Jelajah Ehsan Rakyat juga boleh diperoleh dengan melayari pautan https://linktr.ee/myPKPS .


Pengarang :