Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid ketika beramah mesra dengan komuniti India di kawasan itu pada 6 November 2022. Foto Facebook Abdullah Sani Abdul Hamid
AGENDANASIONAL

Penduduk Kapar dapat hospital, dijangka siap empat tahun lagi

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

SHAH ALAM, 13 Nov: Penduduk Kapar bakal mendapat sebuah hospital lengkap dengan kemudahan asrama dalam tempoh empat tahun lagi, kata Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) parlimen kawasan itu berkata beliau dimaklum pemaju, IJM Land akan memulakan kerja pembinaan hospital besar itu pada 22 November ini di Meru.

“Pecah tanah (untuk kerja pembinaan) dah, (tetapi majlis) secara rasmi tak buat lagi lah,” katanya yang menambah kos pembinaan berjumlah RM830 juta.

Cadangan pembinaan hospital itu dibangkitkan Abdullah Sani di Dewan Rakyat dan diluluskan sewaktu pentadbiran kerajaan HARAPAN pada 2019.

Penyandang parlimen berkenaan berkata terdapat dua lagi projek yang perlu diteruskan bagi memenuhi hasrat dan keinginan rakyat di Kapar.

Beliau akan mencadangkan satu laluan khusus untuk kenderaan berat keluar dari pelabuhan untuk mengelak gangguan kepada pengguna kenderaan ringan di jalan persekutuan.

Bekas pemangku presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga akan mencadangkan pembinaan perpustakaan di Pekan Kapar yang belum dapat dilaksanakan.

“Ini yang saya akan cadangkan dalam manifesto seperti yang mereka nak,” katanya yang berdepan saingan tujuh penjuru dalam pilihan raya umum 19 November ini.


Pengarang :