Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan geran hak milik tanah Bandar Sungai Buaya di Dataran Niaga Serendah, Hulu Selangor pada 16 November 2022. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penduduk lega isu milikan tanah selesai, bukti MB bukan berjanji kosong

Oleh Diana Abd Wahab

HULU SELANGOR, 17 NOV: Penduduk Bandar Baru Sungai Buaya, di sini akhirnya menarik nafas lega apabila menerima surat hak milik tanah individu daripada Dato’ Seri Amirudin Shari, selepas 24 tahun menunggu.

Dato Azizan Zakaria. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Mereka berterima kasih atas keprihatinan Dato’ Seri Amirudin Shari menyelesaikan isu tersebut, malah bukti pentadbiran negeri ini tidak menabur janji kosong kepada penduduk di kawasan asal felda itu.

Usahawan Dato’ Azizan Zakaria, 54, berkata kepimpinan dan kesungguhan Amirudin membela nasib rakyat adalah faktor utama masalah tersebut berjaya diselesaikan.

“Beliau adalah pemimpin yang bekerja untuk rakyat baik isu banjir, tanah, kebajikan atau apa sahaja. Wakil rakyat lain hanya buat separuh jalan. Inilah model pemimpin yang mahu dilahirkan oleh Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Kita doakan Dato’ Menteri Besar terus kekal tadbir Selangor kerana sudah banyak bukti beliau sememangnya pemimpin yang kompeten dan bela nasib rakyat,” katanya.

Mohd Arif Mohd Sharif. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Bekas pengetua sekolah Mohd Arif Mohd Sharif, 62,  berkata penyelesaian isu tersebut memudahkan urusan pindah milik, pembahagian wasiat atau pinjaman bank.

“Kita harap usaha ini berterusan dan telus supaya semua pihak terlibat dapat bahagian sepatutnya. Majoriti penduduk sudah masuk kategori warga emas, sebab itu kita mahu ia diselesaikan segera kerana ramai sudah meninggal dunia,” katanya.

Bagi pemandu lori Muhammad Azwan Khan, 34, kejayaan itu adalah atas usaha bekas ketua kampung Allahyarham Zainal Abidin Kasmil yang tidak pernah putus asa merealisasikan impian penduduk.

Muhammad Azwan Khan. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

“Biarpun arwah tidak dapat melihat hasil usaha dan pengorbanannya, namun penduduk terhutang budi dan sentiasa kenang bakti terakhir yang dilakukan untuk kami,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 3,580 penduduk Bandar Sungai Buaya, Hulu Selangor akan menerima surat hak milik tanah secara berperingkat yang dijangka selesai sepenuhnya menjelang Mac tahun depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya komited menyelesaikan isu tersebut sekali gus melegakan penduduk yang terpaksa menunggu selama 24 tahun untuk memiliki geran hak milik individu.


Pengarang :