Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika program taklimat hak milik strata di Kampung Wira Damai, Gombak pada 4 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penduduk pangsapuri lega, kemelut hak milik kediaman selesai

GOMBAK, 4 NOV: Penantian penduduk Pangsapuri Kenanga mendapatkan hak milik rumah akhirnya tercapai apabila Dato’ Menteri Besar mengumumkan berita gembira hari ini.

Hariati Md Ghazali, 39, berkata ketiadaan hak milik strata menyebabkan dia tidak berjaya membuat pertukaran nama rumah setelah emaknya meninggal dunia.

Hariati Md Ghazali, 39. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Memang semuanya tergantung, sukar nak buat apa-apa urusan bila tiada hak milik hitam putih. Tapi bila MB (Dato’ Menteri Besar) umumkan Kerajaan Negeri sudah selesaikan masalah kami, rasa sangat lega dan gembira.

“Gembira sebab dah tunggu empat tahun, dari emak ada sampai emak saya sudah tiada. Alhamdulillah,” katanya kepada Selangorkini ketika majlis  minum petang Dato’ Seri Amirudin Shari bersama penduduk Taman Gombak Permai dan tiga pangsapuri di sini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Kenanga Kamarol Baderi Sapuan berkata dia sudahpun menyelesaikan bayaran rumah namun gagal dapat hak milik strata.

Kamarol Baderi Sapuan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Disebabkan itu saya dan penduduk berjuang, hampir lima tahun untuk selesaikan masalah ini. Tapi tak sangka pertemuan singkat dengan MB pada Oktober lalu membuahkan hasil.

“Akhirnya kini membuahkan hasil, masalah penduduk selesai, kami lega, terima kasih Kerajaan Negeri,” katanya.

Kerajaan Negeri menanggung kos RM2.2 juta bagi menyelesaikan hak milik strata membabitkan tiga pangsapuri di Taman Gombak Permai.

Amirudin berkata usaha tersebut memanfaatkan lebih 800 keluarga di Pangsapuri Kenanga, Beringin dan Cempaka yang terletak dalam taman berkenaan.

Jelasnya, pangsapuri dibina pada 2005 menerusi projek setinggan sifar itu dihuni sejak 2008 namun tidak mempunyai hak milik strata atau hak milik bertingkat sehingga kini.

 

 


Pengarang :