Ketua jurulatih baharu Selangor Tan Cheng Hoe lulus ujian pertama apabila Gergasi Merah meraih kemenangan besar 5-0 ke atas Melaka United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 1 Oktober 2022. Foto Facebook Selangor FC
AGENDA SUKANKINI

Pengalaman bersama pemain JDT tidak bantu saya – Cheng Hoe

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Pengalaman empat tahun bersama beberapa pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika membimbing skuad kebangsaan tidak memberi kelebihan kepada ketua jurulatih Selangor FC Tan Cheng Hoe menjelang pertembungan final Piala Malaysia 2022, malam esok.

Cheng Hoe, yang membimbing Selangor menentang JDT pada final Piala Malaysia pertama skuad Gergasi Merah sejak 2016, berkata pengalaman bersama pemain skuad Harimau Selatan sebelum ini mungkin ‘memakan’ dirinya pada pertembungan di Stadium Nasional di Bukit Jalil itu.

Beliau berkata barisan pemain JDT yang pernah bersamanya mungkin sudah memahami corak permainan dan pendekatan taktikal yang akan digunakan pada perlawanan esok, sekali gus mampu menghalang impian Selangor merangkul kejuaraan kali ke-34.

“Walaupun saya tahu dan faham kekuatan setiap pemain JDT tapi itu bukan satu jaminan untuk saya dan Selangor menang perlawanan esok…tapi saya selalu kata kepada pemain dalam mana-mana aksi, yang penting ialah persembahan individu.

“Bagi saya kalau pemain dapat pamerkan satu persembahan terbaik dan menunjukkan keyakinan tinggi mungkin kita boleh dapat capai keputusan positif,” katanya pada sidang media praperlawanan final Piala Malaysia antara JDT dengan Selangor di Stadium Nasional di sini, hari ini.

Cheng Hoe mula dilantik membimbing skuad kebangsaan pada Disember 2017 yang menyaksikan pengendali berusia 54 tahun itu berjaya memberi nafas baharu dalam prestasi pasukan negara sebelum mengambil keputusan melepaskan jawatan awal Januari tahun ini.

Kejuaraan terakhir Cheng Hoe dalam kancah saingan domestik ialah memenangi Piala Malaysia 2016 bersama Kedah yang menewaskan Selangor menerusi penentuan sepakan penalti di pentas final.

Dalam pada itu, beliau berkata hanya pemain pertahanan Yazan Al-Arab tidak dapat diturunkan susulan penggantungan perlawanan manakala baki pemain berada pada tahap prestasi terbaik selepas menjalani beberapa sesi pemulihan.

Sementara itu, pemain pertahanan Sharul Nazeem Zulpakar melihat final esok merupakan peluang kepada semua pemain mengharumkan nama Selangor selepas pasukan melalui kemarau tujuh tahun kejuaraan selepas menjuarai Piala Malaysia 2015.

“Selangor dah lama tak menang sebarang kejuaraan, jadi saya rasa inilah masanya yang terbaik untuk para pemain menunjukkan kehebatan bagi memenangi Piala Malaysia tahun ini, saya juga harap rakan-rakan berikan terbaik dalam 90 minit esok,” kata pemain berusia 23 tahun itu.

Selangor merupakan pasukan paling berjaya dalam saingan Piala Malaysia dengan rekod kejuaraan 33 kali sementara JDT muncul juara sebanyak dua kali pada 2017 dan 2019 sejak penubuhan kelab itu pada 2013.

Rekod lima pertemuan terakhir dalam semua pertandingan berpihak JDT yang melakar tiga kemenangan dan dua seri berdepan Selangor. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu berakhir dengan keputusan 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, September lepas.

– BERNAMA


Pengarang :