Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanatnya bagi membantu kempen Parlimen Gombak ketika Jelajah Mega HARAPAN Selangor sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Dewan Serbaguna AU2, Ampang Jaya pada 16 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Pengundi: Anwar faham susah rakyat, layak diangkat sebagai perdana menteri

AMPANG JAYA, 17 NOV: Rekod baik sebagai menteri, dikenali di pentas antarabangsa dan faham kesusahan rakyat melayakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri, menurut beberapa pengundi.

Pemandu lori N Ranjit Singh, 51, berkata dia telah mengikuti perjalanan politik Anwar sejak sekian lama dan tiba masanya presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu diamanahkan mengetuai Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

N Ranjit Singh. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Beliau pernah jadi menteri kewangan terbaik dan seorang tokoh dikenali di peringkat antarabangsa,” kata pengundi Parlimen Setiawangsa itu yang ditemui di ceramah Grand Finale Jelajah Mega HARAPAN di sini, semalam.

“Paling penting beliau tahu kesusahan rakyat kerana pernah melalui pelbagai cabaran besar, penindasan terhadapnya membuatkannya makin kuat berjuang.”

Bagi pesara swasta Zulkifli Abdul Aziz, 67, pengalaman luas Anwar sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan boleh dimanfaatkan untuk menyelamatkan negara.

Zulkifli Abdul Aziz. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya yakin dengan pengalamannya untuk bantu negara,” katanya yang kesal kerana Anwar tidak diberi peluang mengetuai pentadbiran negara disebabkan pengkhianatan beberapa wakil rakyat termasuk penyandang Parlimen Gombak Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

HARAPAN mengumumkan Anwar calon perdana menteri sekiranya gabungan itu menang dalam PRU15.

Pemilihan Anwar yang bertanding di Parlimen Tambun diputuskan selepas mengambil kira beliau sebagai calon yang mampu memulihkan negara daripada krisis ekonomi ketika ini.


Pengarang :