Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura RM10,000 kepada Nazir Masjid Al-Ansar Abd Hamid Surip (enam, kanan) selepas menunaikan solat Maghrib di masjid tersebut di Taman Keramat, Ampang pada 31 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pengundi Gombak tolak dakwaan Islam terancam, MB salur peruntukan tertinggi

GOMBAK, 10 NOV: Beberapa pengundi Gombak menolak tuduhan kononnya kedudukan umat Islam dan orang Melayu terancam sepanjang pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) di Selangor.

Rosdi Ali, 44, mengingatkan Perlembagaan Persekutuan memaktubkan Islam sebagai agama rasmi antara perkara yang tidak boleh diubah meski usul sedemikian diluluskan parlimen kecuali atas persetujuan Majlis Raja-Raja.

Rosdi Ali,44

“Bukan mudah macam didakwa (Dato’ Seri Mohamed) Azmin Ali, kalau beliau kata Islam terancam kerana DAP, dahulu pun dia kerjasama dengan DAP ketika dalam HARAPAN untuk dapatkan undi orang bukan Islam dan Melayu.

“Umat Islam di Selangor tidak harus terpedaya dengan mainan kotor untuk meraih undi ini,” kata pekerja swasta dari Gombak Setia itu ketika ditemui Selangorkini, semalam.

Bagi Muhammad Haris Ghazali, 27, pelbagai usaha yang dijayakan Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar dalam memartabat Islam dengan menyalur peruntukan tinggi secara tidak langsung menjawab dakwaan itu.

Muhammad Haris Ghazali, 27

Katanya, dana RM1.4 bilion sejak 2018 selain pembinaan Kompleks Islam Wira Damai bernilai RM25 juta dan RM7 juta untuk pembangunan semula Masjid Kampung Sungai antara hasil usaha Amirudin.

“Pada saya, Islam di Selangor langsung tidak terancam seperti didakwa malah kebajikan serta kemajuan sentiasa diutamakan,” kata yang menetap Kampung Sungai Kertas di sini.

Mohamed Azmin dalam kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menggunakan isu ancaman DAP terhadap Islam selain mendakwa peruntukan agama Islam selepas zaman pentadbirannya berkurangan RM60 juta setahun.

Amirudin menegaskan Kerajaan Selangor tidak pernah sesekali mengurangkan peruntukan tahunan agama Islam, malah dana tersebut kekal paling besar demi memartabat syiar Islam.

Kira-kira RM1.4 bilion disediakan Kerajaan Selangor menerusi empat belanjawan negeri khusus untuk memartabatkan Islam sejak 2019.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima selepas majlis penyampaian sumbangan insentif haji di Masjid Al Azim Pandan Indah, Hulu Langat pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin sebagai calon nombor dua dalam kertas undi berdepan empat lagi pencabar. Beliau mencabar Azmin yang mengalih sokongan hingga mengakibatkan kerajaan HARAPAN di Putrajaya tumbang pada Februari 2020.

Turut bertanding, Datuk Megat Zulkarnain Omardin mewakili Barisan Nasional, Datuk Dr Aziz Jamaluddin (Pejuang) dan Zulkifli Ahmad (Bebas).

 


Pengarang :