Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Razak, 69, kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pengundi tidak setuju Najib diampun, anggap pemimpin rasuah ‘duri dalam daging’

HULU LANGAT, 14 NOV: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak wajar diberi pengampunan atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Salah seorang pengundi di Bandar Puteri Mahkota, Dasuki Abdullah, 50, berkata negara memerlukan pemimpin yang bersih daripada sebarang kesalahan jenayah termasuk rasuah.

Dasuki Abdullah, 50. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Memang tidak patut bagi pemimpin ada kes memerintah. Kalau ada pun pasti akan jadi macam ‘duri dalam daging’, akhirnya yang teraniaya golongan berpendapatan rendah,” kata ejen hartanah itu.

Pekerja swasta Norasdi Asare, 47, pula menyifatkan cadangan pengampunan yang dikemuka segelintir pihak tidak masuk akal kerana kesalahan Najib melibatkan jumlah yang besar.

“Kalau hendak bagi pengampunan atas kesalahan rasuah, memang tidak wajar. Bayangkan jika duit itu masih ada, boleh tolong ramai orang Melayu yang susah dekat Malaysia.

“Lagipun beliau (Najib) tidak boleh memerintah. Sudah lama sangat dan gaya pemerintahannya juga tidak berubah,” katanya.

Pandangan sama turut disuarakan Abdul Khalid Abdullah, 57, yang berpendapat hukuman diputuskan oleh mahkamah terhadap bekas ahli parlimen Pekan itu tindakan tepat.

Abdul Khalid Abdullah, 57. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Orang macam saya ini, sekolah rendah sahaja. Tidak reti nilai Najib salah atau tidak. Tapi kalau mahkamah sudah putuskan salah, maka salahlah. Sebab mereka lagi tepat dalam buat keputusan.

“Jadi selepas ini kerajaan baharu yang tadbir negara, uruslah baik-baik. Jauhkan diri daripada kes rasuah,” katanya yang bekerja sendiri.

Pada 23 Ogos, mahkamah mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalah guna kedudukan dan pengubahan wang haram.

Kira-kira seminggu selepas hukuman, Umno Perak dilaporkan mahu memulakan kutipan tandatangan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan pengampunan kepada Najib.

Pada 4 September, langkah itu diikuti Umno bahagian Pekan, kawasan parlimen Najib, yang melancarkan petisyen sama dengan sasaran mengumpul 100,000 tandatangan.

Pada hari yang sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun mengesahkan Najib telah mengemukakan permohonan pengampunan diraja pada 2 September, dalam tempoh 14 hari selepas disabitkan.


Pengarang :