Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan lesen kepada peniaga ketika majlis perasmian dan penyerahan lesen gerai dan permit penjaja sementara di Bandar Baru Sungai Buloh Seksyen U20, Shah Alam pada 18 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Peniaga tepi jalan syukur dapat gerai baharu lebih selesa, bersih

SUNGAI BULOH, 18 NOV: Hampir 40 tahun berniaga di bawah pokok, akhirnya seorang peniaga di sini mendapat gerai medan selera milik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Rosli Mohamad Karim. Foto NADIAH JAMLUS/SELANGORKINI

Rosli Mohamad Karim, 45, berkata dahulu emaknya berniaga di bawah pokok sahaja dan kemudian diserahkan  kepadanya sehingga kini.

Namun siapa sangka, rezekinya tiba-tiba dapat gerai baharu dari Majlis MBSA di Bandar Baru Sungai Buloh.

“Bukan gembira sikit, memang sangat gembira dan terima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana peduli dengan nasib peniaga kecil seperti kami.

“Dulu mungkin takut kena saman sebab berniaga di tepi jalan, tapi sekarang terus dapat kedai, terima kasih,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Jamilah Abd Karim, 60, yang sudah lapan tahun berniaga nasi ayam penyet turut menerima gerai baharu dari pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Jamilah Abd Karim. Foto NADIAH JAMLUS/SELANGORKINI

“Dulu saya pernah bayar saman lebih RM800, sekarang dah ada gerai yang diberi MBSA. Tak perlu lagi saya risau, boleh niaga dengan tenang,” jelasnya.

Perkara sama turut diluahkan Intan Arshad, 35, yang pernah dikenakan lebih tujuh saman sepanjang 10 tahun berniaga di tepi jalan.

“Ikutkan tak banyak saman saya, sebab pihak majlis pun timbang rasa. Cuma lepas dapat gerai ini, rasa lagi seronok. Langsung tak perlu risau, lagipun gerai ini selesa dan bersih.

“Saya pun berniaga nasi lemak. Mungkin lepas ini dapat jual lebih banyak, terima kasih Kerajaan Negeri,” katanya.

Intan Arshad. Foto NADIAH JAMLUS/SELANGORKINI

Mereka ditemui selepas majlis penyerahan lesen niaga dan perasmian Gerai Majlis MBSA di Bandar Baru Sungai Buloh oleh Dato Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Gerai di Jalan 1B/2 Bandar Baru Sungai Buloh itu dibina dengan kos RM321,774 dan menempatkan enam peniaga yang dahulunya berniaga di tepi jalan.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan inisiatif permit niaga sementara antara ikhtiar Selangor menambah pendapatan rakyat terutama selepas penamatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Pengarang :