Penjual buah, Mohamad Hadi Wahab dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada 24 November 2022 atas tuduhan melakukan perbuatan khianat terhadap bas yang membawa pemain dan pegawai Selangor FC, selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia tengah malam Isnin lepas. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Penjual buah didakwa, lima lelaki direman kes serang bas Selangor FC

KUALA TERENGGANU, 24 NOV: Seorang penjual buah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat terhadap bas yang membawa pemain dan pegawai Selangor FC, selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia pada tengah malam Isnin lepas.

Mohamad Hadi Wahab, 27, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan khianat terhadap harta benda milik Syarikat E-Mutiara menyebabkan kerugian RM15,000 di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini pada 12.05 tengah malam Isnin.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Disember 2022 untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Khairi Mohamed Noor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu di hadapan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukrie, lima lelaki berusia 24 hingga 37 tahun direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes sama.

 

Lima lelaki ditahan reman empat hari bermula 24 November 2022 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu bagi membantu siasatan insiden serangan ke atas bas yang membawa pemain dan pegawai Selangor FC, selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia tengah malam Isnin lepas. Foto BERNAMA

Terdahulu Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata lima suspek yang direman itu ditangkap dalam satu operasi di sekitar Kuala Terengganu semalam antara jam 11 pagi hingga 8 malam.

Katanya tangkapan terhadap mereka dibuat susulan penahanan suspek pertama pada Selasa lepas, yang dituduh hari ini.

Insiden yang berlaku selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di SSMZA pada malam Isnin itu dipercayai bermula apabila sekumpulan 300 penyokong Terengganu FC (TFC) berkumpul di luar kawasan pagar SSMZA, di laluan keluar penyokong pasukan Selangor FC.

Bagaimanapun, polis bertindak menyuraikan perhimpunan itu dan mengarahkan kumpulan tersebut beredar dari kawasan stadium.

Namun semasa bas yang membawa pegawai dan pemain pasukan Selangor FC itu bergerak balik ke hotel penginapan dengan diiringi pihak polis, beberapa kumpulan tiba-tiba bertindak liar dengan melontar objek keras serta batu.

– BERNAMA


Pengarang :