Calon Parlimen Bangi Syahredzan Johan (tengah) bersama jentera parti ketika melancarkan bilik gerakan Pakatan Harapan (HARAPAN) di Bandar Baru Bangi, Kajang pada 3 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penyandang sifatkan Syahredzan calon wibawa, rajin dekati rakyat

Oleh Azian Aziz

BANGI, 3 NOV: Penyandang kerusi Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming menyifatkan calon pengganti, Syahredzan Johan seorang pemimpin berwibawa dan rajin mendekati rakyat.

Justeru beliau yakin Syahredzan berpeluang besar untuk mempertahankan kerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) di Bangi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bekas ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Beliau calon berwibawa, rajin turun padang untuk mendekati pengundi dan dapat kerjasama yang padu pemimpin dan penyokong HARAPAN di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) bawah Parlimen Bangi iaitu Sungai Ramal, Balakong dan Kajang.

“Malah pasukan saya merupakan penyokong terkuat beliau dalam PRU15 ini,” katanya selepas Majlis Pelancaran Bilik Gerakan HARAPAN Bangi di sini.

Kian Ming memberitahu bagi mendapatkan sokongan pendaftar baharu termasuk pengundi muda berusia 18 hingga 21 tahun, jentera HARAPAN akan menggunakan media sosial selain turun padang.

“Sukar nak jumpa semua pengundi baharu dan cara yang berkesan ialah menggunakan media sosial kerana kita yakin media sosial kita lebih berkesan daripada pihak lawan,’’jelasnya.

Pada PRU13, Kian Ming menang Parlimen Bangi dengan 79,238 undi (majoriti 42,206) dan mengekalkan kerusi tersebut pada PRU14 selepas mendapat 102,557 undi (majoriti 68,768).

Beliau merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri semasa Pakatan Harapan menjadi kerajaan pada 2018 hingga 2020.

Bagaimanapun beliau mengambil keputusan untuk berehat daripada politik dan mengumumkan tidak akan bertanding pada PRU15.


Pengarang :