Penduduk hadir mendengar ceramah umum sempena Jelajah Pakatan Harapan (HARAPAN) di Bandar Baru Ampang. pada 16 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Penyelidik: Tiga di Selangor, 26 kerusi alami pertempuran sengit (SENARAI)

SHAH ALAM, 18 NOV: Sebanyak 26 kerusi berdepan persaingan sengit yang sukar ditentukan, antaranya melibatkan pertembungan calon-calon popular di kawasan mencabar, kata firma penyelidik Ilham Centre hari ini.

“Kedudukan kerusi ini memperlihatkan pengundi atas pagar berada di dalam peratusan yang tinggi. Kebanyakan menyatakan keputusan akhir mereka mungkin diputuskan hingga saat-saat akhir pengundian,” kata firma itu dalam laporan bertajuk ‘HARAPAN di hadapan, BN dan PN bertarung di kerusi Melayu, blok Borneo penentu’.

Dua puluh enam kerusi parlimen tersebut seperti berikut:

Perlis: Kangar, Arau

Kedah: Pokok Sena, Kulim Bandar Baharu

Kelantan: Ketereh

Perak: Bukit Gantang

Selangor: Sungai Buloh, Sungai Besar, Kuala Selangor

Pahang: Temerloh

Negeri Sembilan: Tampin

Johor: Ayer Hitam

Sabah: Kudat, Putatan, Penampang, Sipitang, Kinabatangan, Tawau, Kalabakan, Kimanis

Sawarak: Sri Aman, Lubok Antu, Igan, Sarikei, Miri, Lawas

“Kerusi-kerusi tersebut sukar untuk dilakukan ramalan tepat kerana saingan sengit dan ayunan (sokongan) saat akhir yang sukar dijangka. Mana-mana pihak yang memperoleh undi ayunan akhir akan muncul pemenang,” kata Ilham Centre lagi.

Keputusan yang diterima pada hari pengundian esok “akan menimbulkan ‘upset’ (kejutan) kepada jangkaan awal sama ada buat calon pilihan ataupun parti-parti tertentu.”

Selain itu, keadaan tidak menentu turut disumbangkan oleh pengundi kali pertama, anak muda dan mereka yang dimasukkan dalam daftar pemilih secara automatik.

“Kelompok ini ibarat anak dara pingitan yang menjadi rebutan semua pihak yang cuba untuk memikat perhatian mereka. Sepanjang tempoh kempen dan kajian lapangan ini dijalankan, penyelidikan mendapati bahawa kelompok ini dikelaskan sebagai ‘wild voters’,” laporan itu dipetik.

Firma tersebut mendapati pengundi ini, seramai tujuh juta atau 33 peratus, tidak kekok berkongsi kecenderungan politik mereka secara terbuka walau majoriti belum membuat keputusan.

“Kami mendapati pengundi muda luar bandar cenderung mengikuti jalur politik keluarga dan ibu bapa. Bagi pengundi muda bandar walaupun cuba dipengaruhi oleh pilihan keluarga, mereka kekal dengan pilihan masing-masing.

“Namun begitu majoriti mereka masih belum membuat keputusan,” kata Ilham Centre.


Pengarang :