Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama pemain dan pengurusan Selangor FC selepas majlis penyerahan cek cura atas kejayaan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia di Putrajaya Marriot Hotel pada 25 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Penyokong Selangor diminta jaga tingkah laku, pamer semangat kesukanan

PUTRAJAYA, 26 NOV: Dato’ Menteri Besar meminta jasa baik penyokong Selangor supaya tidak menimbulkan kekecohan sepanjang perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penyokong harus menghormati apa jua keputusan dalam perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam ini.

“Saya berpandangan seluruh peminat dan penyokong harus patuh dan menjaga nama baik Selangor, pamer semangat kesukanan.

“Tidak kira menang atau kalah, ini adalah satu perlawanan. Harap mereka (penyokong) dapat menjaga disiplin dan nama baik,” katanya ditemui selepas majlis penyerahan insentif khas kepada pemain Selangor FC di Hotel Marriott Putrajaya di sini malam tadi.

Semalam, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menasihatkan penyokong Selangor FC menjaga tatatertib dan tingkah laku ketika menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 antara pasukan itu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berharap penyokong pasukan Merah Kuning tidak mencetuskan kekecohan serta mencemarkan nama baik pasukan termasuk terbabit dalam sebarang bentuk pergaduhan, walau apapun keputusan perlawanan.

Sementara itu, Amirudin percaya skuad dikemudi Tan Cheng Hoe mampu menghasilkan kejutan buat penyokong Selangor meski pertemuan bersama Southern Tigers dijangka sengit.

“Saya tidak berani (membuat ramalan), tetapi saya rasa perlawanan begitu sengit dan ini (perlawanan akhir) adalah pentas berbeza.

“Ia tidak boleh dibandingkan dengan prestasi biasa, sebab itu saya percaya mereka boleh melakukan sesuatu yang istimewa esok (malam ini),” katanya.

Selangor FC berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan agregat 3-2 selepas menumbangkan Terengganu FC 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 22 November lalu.

Kali terakhir Selangor menjulang Piala Malaysia adalah pada tahun 2015 dengan menundukkan Kedah 2-0.


Pengarang :