Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan (tengah) beramah mesra bersama penduduk ketika berkempen di Bukit Chandang, Batang Kali pada 12 November 2022. Foto Facebook Dr Sathia Prakash Nadarajan
AGENDANASIONAL

Pergiat kempen di media sosial, elak lambakan bendera selepas PRU

OLEH DIANA ABD WAHAB

HULU SELANGOR, 14 NOV: Pakatan Harapan (HARAPAN) mengesyorkan supaya kempen pilihan raya umum (PRU) akan datang tidak lagi menggunakan bahan fizikal seperti bendera atau kain rentang.

Sebaliknya, calon gabungan itu di Parlimen Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan mencadangkan semua parti politik membuat perubahan dengan menumpukan kempen di media sosial.

Selain memelihara alam sekitar, beliau menegaskan kempen secara digital juga lebih relevan, menjimatkan wang dan tenaga jentera parti untuk memasang bendera.

“Saya tidak nafikan bendera penting untuk menambah kemeriahan pilihan raya. Apabila pasang bendera dan gegantung, rakyat tahu musim pilihan raya. Tetapi bukan pasang di semua tempat.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan (dua, kanan) bertemu peniaga pasar malam di Kuala Kubu Bharu dalam siri jelajah kempennya di kawasan itu pada 10 November 2022. Foto Facebook DrSathia Prakash Nadarajan

“Saya nampak benda-benda ini (pasang bendera) boleh dibelanjakan untuk perkara lain. Boleh bantu rakyat memerlukan. Lebih membimbangkan pencemaran, saya tidak tahu berapa tan sampah akan dikumpul selepas 19 November,” katanya.

Dr Sathia yang ditemui di Bilik Gerakan Utama HARAPAN di sini pada 12 November menambah tempoh kempen yang berbaki kurang seminggu akan digunakan sepenuhnya untuk mendekati rakyat.

Biarpun faktor cuaca sedikit membataskan kempen, namun jelasnya, sebahagian besar kawasan itu sudah dilawati termasuk di Hulu Bernam dan Kuala Kubu Bharu.

“Kita akan giatkan kempen di Batang Kali dengan bantuan semua komponen dalam HARAPAN. Kita gembira semua pihak beri komitmen penuh untuk pastikan kita dapat kekal di Hulu Selangor,” katanya.


Pengarang :