Pengguna beratur menaiki Bas Smart Selangor ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 2 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Perkenal khidmat van transit atas permintaan, dana RM25 juta rangkum pengangkutan awam

SHAH ALAM, 25 NOV: Selangor memperkenal perkhidmatan van transit atas permintaan bagi melengkapkan ekosistem pengangkutan awam di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato Seri Amirudin menjelaskan van transit atas permintaan (Demand-Responsive Transit) atau DRT berfungsi berdasarkan permintaan menerusi aplikasi penghalaan pintar, bukan seperti bas henti-henti.

“Perkhidmatan ini boleh melengkapi sistem Bas Smart Selangor yang tidak mampu untuk mencapai laluan-laluan yang sempit dan berkepadatan padat,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023 hari ini.

Beliau berkata perkhidmatan itu antara usaha baharu sistem pengangkutan awam yang dikenali sebagai Selangor Mobiliti, sistem pengangkutan awam yang menggabungkan semua bawah satu bumbung dan dipandu analisis data.

Katanya, fasa pertama sistem itu, tidak hanya fokus mod pengangkutan semata-mata seperti sistem bas, rel, teksi mahupun e-panggilan, bermula seawal suku pertama tahun depan menerusi peruntukan RM25 juta.

“Sebaliknya dirangkum di dalam satu ekosistem yang merangkumi infrastruktur lain seperti perhentian bas, hub pengangkutan awam, mikromobiliti, e-scooter dan laluan pejalan kaki,” katanya.

“Sudah tiba masanya Kerajaan Negeri melangkah ke depan dengan mencari penyelesaian yang lebih proaktif bagi mencapai sasaran penggunaan pengangkutan awam daripada 20 peratus kepada 40 peratus pada 2035.

“Ini mendorong penggunaan pengangkutan awam seterusya mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya sambil menambah perkhidmatan Bas Smart Selangor masih diteruskan dan ditambah baik.

Amirudin menambah pembaharuan berkenan didorong pertumbuhan kepadatan Selangor yang mencapai angka dua digit sejak dekad lalu iaitu 7.04 juta penduduk.


Pengarang :