Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Sepang Aiman Athirah Sabu (tengah) diiringi EXCO Selangor Borhan Aman Shah (dua, kiri) dan bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah (belakang) ke pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi pada 5 November 2022. Foto Twitter Maria Chin Abdullah
AGENDANASIONAL

Perkenal lebih banyak program prorakyat jika HARAPAN menerajui Putrajaya

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR & NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 6 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) kerusi Sepang yakin pelbagai inisiatif prorakyat di Selangor boleh diperluas ke peringkat persekutuan jika gabungan itu menang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Mengambil contoh Skim Insurans Am Selangor (INSAN) secara percuma kepada orang ramai, Aiman Athirah Sabu percaya skim itu boleh diadakan pada peringkat nasional.

“Selangor kerajaan paling berkebajikan. Ada banyak program termasuk memberi insurans hayat kepada rakyat. Ini tidak pernah berlaku, ada banyak lagi program sedang berjalan.

“Isu terkait denyut nadi rakyat, periuk (nasi) dan poket rakyat, ini perlu kita urus dengan baik tetapi keseluruhannya bergantung kepada sama ada kita tadbir Putrajaya atau tidak,” kata ketua Wanita HARAPAN di pusat penamaan calon di sini, semalam.

Beliau bersaing dengan Datuk Seri Rina Harun (Perikatan Nasional) dan Che Asmah Ibrahim (Pejuang) selain Anuar Basiran dari Barisan Nasional dan tiga lagi calon Bebas.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan mencium tangan ibunya sebelum penamaan calon di Dewan Seri Cempaka, Kajang pada 5 November 2022. Foto Facebook Sany Hamzan

Calon HARAPAN Hulu Langat pula mahu menumpu perhatian bagi menyelesaikan masalah berkaitan sekolah iaitu kesesakan dan projek terbengkalai jika menang.

“Ada beberapa masalah seperti berkaitan banjir, kesesakan sekolah dan sekolah tidak siap. Ini antara beberapa perkara yang saya perjuangkan. Sebelum ini pun, saya memang pejuangkan isu ini,” kata Mohd Sany Hamzan.

Berasal daripada Kampung Sungai Michu, wakil rakyat Taman Templer menyifatkan peluang bertanding di situ ibarat sirih pulang ke gagang seterusnya dapat menabur bakti.

Sany berdepan saingan enam penjuru dengan Datuk Johan Abd Aziz (BN), Dato’ Markiman Kobiran (Pejuang), Dato’ Dr Radzi Latif (PN), Dato’ Abdul Rahman Jaafar (Warisan) dan Dr Mohamed Mustafa (Bebas).


Pengarang :