AGENDANASIONAL

Perluas program mySalam tawaran buat golongan pendapatan sederhana

KUALA SELANGOR, 15 NOV: Tawaran Pakatan Harapan (HARAPAN) memperluas perlindungan mySalam kepada keluarga berpendapatan sederhana (M40) membuktikan keadilan buat golongan itu.

Abdul Wahab Johari, 63, menyambut baik hasrat gabungan itu menyediakan inisiatif skim takaful perlindungan kesihatan percuma yang turut diperlukan kelompok berkenaan.

Abdul Wahab Johari

“Sebelum ini saya difahamkan program tersebut khusus untuk keluarga berpendapatan rendah (B40) sahaja. Jika betul mereka mahu tawarkan kepada M40 pula, baguslah.

“Apa juga manfaat yang hendak ditawarkan kepada rakyat mestilah sama rata, lagipun sekarang ramai terkesan dengan kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Sementara itu, Asiah Mohd Shahar, 57, akan memanfaatkan tawaran tersebut berikutan sebelum ini tidak layak memohon skim perlindungan kesihatan sosial.

Asiah Mohd Shahar

“Saudara mara saya ramai mohon skim itu dan layak tetapi sebaliknya kepada saya. Mungkin faktor pendapatan isi rumah menyebabkan saya tidak layak.

“Saya harap HARAPAN dapat tunaikan janji jika menang pilihan raya kali ini memandangkan ramai M40 berdepan masalah kewangan untuk mendapatkan rawatan penyakit kritikal.

“Persediaan awal itu lebih baik kerana jika sudah jatuh sakit kos rawatan tinggi dan sukar untuk biaya sendiri,” katanya.

Bagi Rafiee Mohd Yusof, 67, sudah tiba masanya segala inisiatif dilaksana kerajaan memberi tumpuan terhadap golongan M40 yang tidak terkecuali daripada cabaran krisis ekonomi.

“Saya sokong sepenuhnya kalau mereka (HARAPAN) mahu tawarkan inisiatif sebegini. Mungkin selama ini kita nampak tumpuan banyak diberikan kepada B40.

“Skim perlindungan kesihatan penting untuk semua tetapi hakikatnya tidak semua mampu bayar kerana kosnya mahal. Saya harap skim ini boleh jamin kesihatan semua rakyat,” katanya.


Pengarang :