Pengarah Eksekutif MSN Selangor Mohamad Nizam Marjugi (tengah, belakang) bergambar bersama penaja dan pemain bola keranjang Selangor selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) penajaan di Sekolah Kebangsaan Dwi Emas, Shah Alam pada 20 November 2022. Foto Facebook MSN Selangor
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Persatuan bola keranjang negeri terima tajaan Neulegen RM450,000

SHAH ALAM, 21 NOV: Persatuan Bola Keranjang Selangor menerima tajaan bernilai RM450,000 daripada pembekal produk kesihatan Neulegen untuk pembangunan sukan itu.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkata tajaan wang tunai dan produk kesihatan selama tiga tahun juga bagi mempersiap pemain menghadapi kejohanan.

“Dana ini dicari sendiri oleh persatuan. Sekurang-kurangnya mereka (penaja) dapat bersama-sama kita memajukan sukan bola keranjang di negeri ini,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi.

“Kita mengalu-alukan jika ada lagi pihak luar yang sudi menjadi penaja kerana kita memerlukan dana besar untuk program pembangunan sukan. Apatah lagi MSN Selangor perlu menjaga 50 persatuan sukan.”

Semalam, kedua-dua pihak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi tujuan itu di Sekolah Kebangsaan Dwi Emas di sini sambil disaksikan Mohamad Nizam.

Sementara itu, bendahari persatuan berkenaan Yap Poh Boon berkata kebajikan pemain bola keranjang lebih terjamin melalui kerjasama tersebut.

Sebagai permulaan, katanya, dana itu akan disalur kepada pasukan wanita yang akan berentap dalam peringkat kebangsaan di Stadium Bola Keranjang Malaysia, Kuala Lumpur pada Disember.

“Kita memerlukan dana jika mahu menghantar pasukan menyertai apa-apa kejohanan. Kita perlu urus pasukan dan bayar elaun latihan mereka,” katanya.

 


Pengarang :