Bangunan Pasar Moden Sri Muda di Seksyen 25, Shah Alam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Persediaan banjir, parkir bertingkat di Pasar Moden Sri Muda dibuka

SHAH ALAM, 8 NOV: Tempat meletakkan kenderaan bertingkat di Pasar Moden Sri Muda, Seksyen 25, di sini kini dibuka kepada orang ramai bagi menghadapi sebarang kemungkinan risiko bencana banjir.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dalam kenyataan berkata langkah itu berikutan berlaku kenaikan air di beberapa tempat di sekitar kawasan berkenaan petang tadi.

”Susulan itu, penduduk di kawasan Taman Sri Muda dinasihatkan untuk meletakkan kenderaan di kawasan yang tinggi dan pemantauan sedang dilakukan dari semasa ke semasa. Keadaan kini masih terkawal,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis memaklumkan setakat ini, tiada risiko kejadian banjir dijangkakan berlaku di sekitar Taman Sri Muda, Kota Kemuning dan Seksyen 17 hingga Seksyen 24 susulan keadaan hujan lebat yang bermula 3 petang tadi.

”Setibanya di lokasi kejadian pada 4 petang, anggota telah membuat size up mendapati kawasan di sekitar Taman Sri Muda masih lagi hujan dan longkang dipenuhi air. Namun tiada kerja penyelamatan dilaksanakan.

“Jalan dinaiki air akibat longkang tersumbat manakala kunci air Sri Muda beroperasi. Di Bukit Naga, Seksyen 32, jalan turut dinaiki air di kawasan perumahan akibat longkang tersumbat, namun keadaan masih terkawal setakat ini dan hujan juga sudah berhenti,” katanya dalam kenyataan berasingan.

Norazam memaklumkan pihaknya turut menyelamatkan sepasang suami isteri berusia lingkungan 60-an berdekatan kawasan Sungai Semungkis, Hulu Langat kira-kira 6 petang tadi.

”Pasangan suami isteri dari Ampang itu datang untuk membersihkan kebun mereka, namun terperangkap kerana air mula naik di kawasan berkenaan susulan hujan lebat. Namun kini keadaan terkawal dan hujan telah berhenti,” katanya.

Norazam berkata pihaknya kini membuka tiga pos pangkalan hadapan iaitu satu di Taman Sri Muda manakala dua pos masing-masing di Batu 14 dan Sungai Serai, Hulu Langat sebagai persediaan menghadapi bencana banjir.

– BERNAMA


Pengarang :